Rabu, 23 Mei 2018 | 2:07pm
ABDUL LATIF ROMLY

Latif tekad pertahan emas, perbaharui rekod dunia

KUALA LUMPUR: Jaguh paralimpik negara, Abdul Latif Romly tekad untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Para Asia di Jakarta, Indonesia, Oktober ini.

Selain itu, atlet dari Perlis ini berharap mampu memperbaharui catatan peribadi terbaik yang juga rekod dunia miliknya iaitu dengan jarak sejauh 7.60 meter (m) ketika dicipta di Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada 2016.

"Tahun ini tumpuan utama saya adalah Sukan Para Asia di Jakarta dan ia adalah penampilan kedua saya dalam temasya ini.

"Saya meraih pingat emas di Incheon, Korea Selatan pada 2014. Jadi pada temasya kali ini saya mahu cuba pertahankan pingat emas. Insya-Allah kalau ada rezeki dan kondisi badan ok, saya ingin memecahkan rekod dunia milik saya," kata Latif.

Mengulas lanjut, Olahragawan Kebangsaan 2016 ini berkata dia tetap menjalani latihan seperti biasa meskipun baru saja pulih daripada kecederaan hamstring kanan yang dialami di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mac lalu.

Kecederaan itu dialami ketika Latif menjalani latihan di Dubai, UAE sebelum bersaing pada Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza ke-10 - Grand Prix Olahraga Para Dunia.

"Saya baru pulih daripada kecederaan, namun masih ada sedikit rasa sakit jadi buat masa ini saya tidak mahu terlalu memaksa diri. Selain itu, saya juga dalam fasa mendapatkan kembali teknik lompatan," katanya.

Untuk rekod, Latif juga adalah pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) dengan jarak sejauh 7.41m untuk menewaskan Suhairi Suhaini dari Singapura (6.85m) manakala gangsa milik rakan senegara, Zulkifly Abdullah (6.51m).

Walaupun catatan itu tidak memadamkan rekod temasya 7.43m yang dicatatnya di Singapura, namun kejayaan itu membolehkannya meraih gelaran hatrik selepas turut memenangi emas di Singapura dan Myanmar.

Berita Harian X