Ahad, 13 Mei 2018 | 9:38pm
ZULFIQAR (dua dari kiri) ketika beraksi dalam acara 100m.

Zulfiqar bersedia ke Jepun

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga kebangsaan, Muhammad Zulfiqar Ismail bersedia menjadi pengganti kepada Khairul Hafiz Jantan untuk dijulang selaku raja pecut di pentas remaja Asia, selepas ini.

Zulfiqar antara prospek dilihat jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim untuk menggalas tugas berat itu menjelang Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-18 di Gifu, Jepun, pada 7 hingga 10 Jun depan.

Pencapaian terbaik Zulfiqar dalam acara riben biru itu adalah 10.46s ketika dicipta di Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Mac lalu.

Pada 2016 ketika kejohanan remaja Asia berlangsung di Ho Chi Minh, Vietnam, raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz meraih pingat emas dengan masa 10.36s menewaskan Ippei Takeda dari Jepun (10.41s) dan Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.45s).

"Saya harap saya ataupun Muhammad Haiqal Hanafi dapat menggantikan tempat Khairul Hafiz selaku pemenang pingat emas remaja Asia.

"Ini pertama kali saya menyertai kejohanan besar seumpama ini jadi saya tidak tahu bagaimana saingan kelak. Namun saya jangkakan atlet tuan rumah, Abdul Hakim Sani Brown antara pesaing saya kelak," kata Zulfiqar,19.

Selain Zulfiqar yang turut beraksi dalam acara 4x100m, atlet lain yang diberi kepercayaan ke Jepun adalah Haiqal Hanafi (100m, 200m), Abdul Wafiy Roslan (200m, 4x100m, 4x400m) dan Saiful Safwan Saifuddin (400m, 4x400m).

Turut disenaraikan Luqman Nur Hakim Khairul Ajmal (4x400m), Ilham Suhaimi (400m, 4x400m) dan Aiedel Saadon (4x100m).

35 dibaca
Berita Harian X