Jumaat, 22 September 2017 | 3:54pm
ATLET Malaysia, Abdul Latif Romly bergambar di hadapan papan elektronik dengan cacatan 7.41 meter pada acara lompat jauh T20 lelaki akhir di Stadium Nasional, Bukit Jali., sebentar tadi. - Foto OSMAN ADNAN

Para KL2017: Sokongan diraja bantu Latif pertahan emas

KUALA LUMPUR: Sokongan diraja berjaya membantu Abdul Latif Romly mempertahankan emas dalam acara lompat jauh lelaki T20 (masalah pembelajaran) selepas melakukan lompatan 7.41 meter yang turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Abdul Latif yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Kejohanan Dunia IPC London tahun ini, ternyata tiada tandingan selepas mengetepikan wakil Singapura, Suhairi Suhani yang sekadar mencatat 6.85m, manakala gangsa milik seorang lagi atlet negara, Zulkifly Abdullah (6.51m).

"Sebenarnya saya bersyukur dapat mempertahan emas dan ini yang ketiga di Para ASEAN, selepas Myanmar dan Singapura. Pertama kali saya rasa gembira kerana Raja Muda Perlis pun turun datang memberi sokongan bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar," katanya selepas upacara penyerahan pingat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Jelasnya, dia berasa tidak tertekan dengan kehadiran kedua-dua orang kenamaan berkenaan, sebaliknya rasa lebih bersemangat untuk beraksi walaupun gagal untuk memecahkan rekod sendiri 7.43m yang dilakukan di Singapura, dua tahun lalu.

"Memang saya berasa yakin sebelum turun kerana mahu memperbaiki catatan peribadi terbaik. Selepas ini saya akan cuti selama dua minggu sebelum menyambung semula latihan.

"Kecewa tidak dapat memecahkan rekod temasya memang ada kerana saya berasa sedikit letih," katanya.

Abdul Latif terpaksa menunggu pada hari terakhir acara olahraga sebelum turun beraksi dan dia mengakui tidak sabar untuk ke trek.

"Terima kasih kepada keluarga dan penyokong yang datang memberi sokongan. Keluarga saya tiba dari Perlis sejak kelmarin," katanya yang berasal dari Bukit Keteri, Perlis.


Abdul Latif bersama ahli keluarganya yang hadir memberi sokongan pada acara lompat jauh T20 lelaki akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. -Foto Osman Adnan

Ditanya mengenai Para Asia di Jakarta-Palembang tahun depan, atlet berusia 20 tahun itu berkata, dia mahu mempertahankan emas yang dimenangi di Incheon 2014.

Pada masa yang sama, dia juga gembira dapat beraksi di Para ASEAN dan Sukan SEA tahun ini, sambil mengakui kedua-duanya mempunyai tahap saingan yang sangat berbeza.

"Sukan SEA sangat mencabar kerana lawan begitu kuat. Ia membuatkan saya rasa tercabar untuk memberi tentangan kepada mereka. Di sini (Para ASEAN) kebanyakan atlet baru hendak membina karier tapi tujuan utama saya adalah untuk memperbaiki catatan, tidak kira atlet lain kuat atau tidak," katanya yang mengakui berasa sakit di bahagian buku lali iaitu kecederaan lama yang dialami enam bulan lalu.

Berita Harian X