Selasa, 19 September 2017 | 5:01pm
EDDY Bernard ketika beraksi dalam acara lompat jauh T37 pada Sukan Para ASEAN KL2017 di Stadium Hoki II Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Eddy sasar Sukan Para Asia 2018, Paralimpik Tokyo 2020

KUALA LUMUR: Selepas meraih dua pingat emas menerusi acara 100 meter dan lompat jauh T37 Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), Eddy Bernard memasang impian untuk beraksi di Sukan Para Asia Jakarta 2018 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Bernard berkata dia tidak akan berhenti berlatih untuk memastikan dirinya layak untuk menyertai kedua-dua kejohanan itu nanti.

Atlet berusia 16 tahun itu juga berpuas hari kerana berjaya memecahkan rekod peribadinya dalam acara lompat jauh T37 selepas melakukan lompatan 5.76m, berbanding catatan lama 5.71m sekali gus membolehkan dia menang emas kedua di Para KL2017.


ATLET negara, Eddy Bernard memasang impian untuk beraksi di Sukan Para Asia Jakarta 2018 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 susulan kejayaan dua pingat emas dalam acara 100 meter dan lompat jauh T37 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

"Ini adalah pencapaian terbaik saya dan saya mahu hadiahkan kedua-dua emas ini untuk keluarga dan jurulatih yang banyak membantu saya sehingga berjaya di Para KL2017.

"Selepas ini saya akan terus berlatih untuk memastikan terpilih ke Sukan Para Asia Jakarta 2018 dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020," katanya ketika ditemui pemberita selepas menang emas dalam acara lompat jauh lelaki T37 sebentar tadi.

Pingat perak acara lompat jauh lelaki T37 dimenangi atlet Vietnam, Truong Tan Hien selepas melakukan lompatan sejauh 5.47m manakala gangsa milik, rakan senegaranya, Nguyen Hu Thinh (4.48m).

Terdahulu atlet berasal dari Beluran, Sabah itu berkata dia lebih tenang ketika beraksi dalam acara lompat jauh kerana hanya empat peserta menyertainya.

"Saya hanya menanamkan dalam minda bahawa saya hari ini saya hanya berlatih seperti biasa bersama rakan sepasukan.

"Hasilnya, saya dapat mencatatkan lompatan sejauh 5.76m dan memecahkan rekod peribadi pada percubaan ketiga, berbanding rekod lama saya 5.71m," katanya.

Berita Harian X