Isnin, 18 September 2017 | 8:14pm
ATLET Malaysia, Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah, meraikan kemenangannya ketika akhir acara 100 meter lelaki kelas T12 Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Para KL2017: Afiq sasar pecah rekod sendiri

KUALA LUMPUR: Emas yang diraih Afiq Ali Hanafiah dalam acara 100 meter lelaki T12 (kurang penglihatan) bakal dijadikan pembakar semangat buatnya untuk memecahkan rekod Sukan Para ASEAN miliknya sendiri - 23.32 saat - dalam saingan 200m, esok.

Menurut atlet 23 tahun itu, emas yang diraihnya hari ini dengan catatan 11.45s memperbaiki pencapaian dua tahun lalu di Singapura apabila hanya memenangi gangsa di belakang Faizal Aideal Suhaimi (emas) dan Saifuddin Ishak (perak).

"Kali ini rezeki memihak kepada saya dan saya menganggap ia pencapaian terbaik walaupun gagal melakukan catatan peribadi terbaik (11.36s)," katanya yang meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa di Singapura, dua tahun lalu.


MUHAMAD AFIQ (kanan) ketika beraksi dalam acara 100m lelaki Kelas T12 Sukan Para Asean KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Jelasnya, selepas memberikan fokus 100 peratus dalam acara 100m, dia tidak sabar untuk beralih fokus kepada 200m yang menjadi acara kegemarannya.

"Saya mahu pecahkan rekod kejohanan milik saya sendiri dan berasa bangga dapat memulakan aksi dengan emas pertama acara 100m," katanya yang meletakkan sasaran beraksi di Kejohanan Dunia 2019.

Kata Afiq, sebelum ini dia berjaya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia London tahun ini, namun terpaksa melupakan impian berkenaan kerana berdepan kecederaan.

"Mungkin ia bukan rezeki saya, tapi saya akan cuba lagi dan fokus saya seterusnya ialah ke Sukan Para Asia di Indonesia, tahun depan," katanya yang membuat penampilan ketiga di Sukan Para ASEAN.

Dalam acara 100m T12 lelaki, perak milik Chaiya Somdech (Thailand) yang merakam masa 11.77s, manakala gangsa milik Wongngoen Amnat (Thailand) 11.81s.

Berita Harian X