Isnin, 18 September 2017 | 6:25pm
ATLET negara, Nani Shahiera Zawawi ketika beraksi dalam acara akhir lompat jauh wanita T20 pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA
ATLET olahraga Para negara, Siti Noor Radiah Ismail (kanan) dan pemenang pingat perak, Nani Shahiera Zawawi, memperagakan pingat yang dimenangi mereka dalam acara akhir lompat jauh akhir wanita kelas T20 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Nani mahu terbang ke Tokyo

KUALA LUMPUR: "Saya mahu ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020," kata pemenang pingat perak acara lompat jauh wanita T20 Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), Nani Shahiera Zawawi.

Nani Shahiera yang menjadikan ikon Paralimpik negara, Abdul Latif Romly sebagai idolanya melakukan catatan 4.78 meter, kurang 0.21m daripada pemenang pingat emas, Siti Noor Radiah Ismail, hari ini bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk latihan keras.

"Melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 adalah cita-cita saya. Namun, untuk mencapai impian itu saya harus melakukan persiapan terbaik selepas ini," katanya yang berusia 21 tahun dan berasal dari Marang, Terengganu.

Katanya, jika berjaya menempatkan diri, dia pastinya berasa puas hati kerana berjaya mengikut jejak langkah idolanya, Abdul Latif yang juga pemenang pingat emas acara lompat jauh lelaki Sukan Paralimpik Rio 2016 dan juara dunia.

"Saya memang ada bersembang dengan dia tapi tidak terlalu mendalam. Saya suka dengan cara dia melayan kami, tidak kedekut ilmu. Sekarang saya juga boleh merasakan apa yang dia rasakan. Saya seronok dan mampu membuatkan rakyat Malaysia bangga.

"Ini adalah Sukan Para ASEAN kedua saya selepas menduduki tempat keempat di Singapura dua tahun lalu. Berkat usaha gigih di dalam latihan sejak tahun lalu, saya berjaya memperbaiki kedudukan meraih perak kali ini," katanya.


NANI Shahiera Zawawi melakukan catatan 4.78 meter pada acara akhir lompat jauh T20 wanita pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto BERNAMA

Nini Shahiera menghadiahkan pingat perak yang dimenanginya itu kepada seluruh rakyat Malaysia dan keluarganya kerana banyak memberi dorongan.

Gangsa dalam acara berkenaan diraih atlet Indonesia, Tiwa yang melakukan catatan 4.66m, manakala seorang lagi wakil negara, Nur Alia Ardiela Natasya Ibrahim menduduki tempat keempat (4.48m).

Berita Harian X