Ahad, 17 September 2017 | 6:01pm
ATLET lontar peluru Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli bakal menjadi tumpuan peminat olahraga. - Foto Osman Adnan
ATLET lompat jauh, Latif Romly bertekad menebus duka di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Yazit Razali

Para KL2017: Olahraga mampu jadi lubuk emas Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 133 pingat emas bakal menjadi rebutan sepanjang lima hari sukan olahraga dipertandingkan di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017) yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur, bermula esok.

Pada hari pertama (Isnin), sebanyak 24 emas menjadi rebutan, seterusnya 28, 29, 26 dan 26 iaitu apabila ia melabuhkan tirai pada Jumaat.

Seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 lalu, olahraga paralimpik turut menjadi lubuk buat atlet mengutip pingat dalam pelbagai jenis acara balapan dan padang.

Justeru Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi bakal menjadi saksi 72 atlet kebangsaan dengan 24 daripadanya adalah atlet muda menggalas cabaran Malaysia untuk melengkapkan misi mencapai gelaran juara keseluruhan dan sasaran 103 pingat emas, sebagaimana diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini.

Bagi skuad olahraga para negara pula, 40 pingat emas menjadi sasaran pada temasya kali ini, dengan tumpuan peminat serta sorakan penyokong dijangka terarah kepada dua juara dunia dalam acara lontar peluru dan lompat jauh, Muhammad Ziyad Zolkefli serta Abdul Latif Romly.

Ziyad selaku pemenang emas Sukan Paralimpik Rio 2016 sudah tentu mahu memenangi emas di laman sendiri selepas hanya menghadiahkan pingat gangsa dengan catatan 17.12m pada penampilan pertama yang cukup bermakna di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lalu.

Atlet Perlis, Abdul Latif juga tekad menebus duka di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mengalami cirit-birit yang merencatkan rentaknya pada hari kejohanan - apabila hanya menamatkan saingan di tempat ketujuh (7.34m).

Abdul Latif yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 turut mengakui ingin memburu emas hatrik di pentas Para ASEAN, selepas meraih emas di Myanmar dan Singapura.

Tidak dilupa kehadiran ratu pecut dari Sabah, Felicia Mikat yang menyapu bersih tiga pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 400m dalam kategori T13 (masalah penglihatan) di Singapura 2015, juga pasti dinanti lariannya oleh peminat sukan olahraga negara.

Siti Noor Radiah Ismail, pemenang gangsa di Rio 2016 yang beraksi dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) juga dilihat mampu menggegarkan pentas olahraga untuk menjadi sebahagian daripada pemenang pingat emas.

Acara jarak jauh juga mampu menghadiahkan pingat buat kontinjen negara apabila pemenang emas 800m dan perak 1,500m T46, Muhamad Ashraf Muhammad Haisham baru-baru ini melaungkan amaran mahu memenangi kedua-dua emas dalam acara itu.

Muhamad Ashraf yang dilahirkan normal tetapi kehilangan tangan kiri dalam kemalangan pada 12 Januari 2013, mahu menjadikan temasya ini sebagai medan untuk terus maju dan mara ke tahap lebih tinggi di Sukan Para Asia Jakarta, Indonesia 2018, selepas tampil pertama kali di Sukan Para ASEAN di Singapura 2015.

Di Stadium Nasional Singapura 2015 lalu, Malaysia menamatkan saingan dengan kutipan 53 pingat iaitu 27 emas, 18 perak dan 8 gangsa, namun Thailand masih meneruskan dominasi sukan itu dengan 30 emas, 32 perak dan 22 gangsa.

Pencapaian lapan emas, lapan perak dan sembilan gangsa diraih skuad olahraga serta gelaran selaku juara keseluruhan KL2017 dengan kutipan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa, diharap mampu memberikan semangat tambahan buat kontinjen para untuk meraih lebih banyak emas berbanding di Singapura, dua tahun lalu.

Berita Harian X