Rabu, 16 Ogos 2017 | 7:23pm
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KOM terus membisu nasib Komalam

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) terus membisu sama ada pelari pecut S Komalam akan dipanggil semula menyertai skuad olahraga negara untuk Sukan SEA 2017 ini.

Komalam hari ini berkata, dia sudah mengutus surat rayuan kepada MAF untuk menyenaraikan namanya kembali dan memohon maaf atas tindakan yang menyebabkan penyingkirannya.

Walaupun kedua-dua pihak, KOM dan Komalam tidak menjelaskan lebih lanjut punca hukuman yang menyebabkan namanya terpadam daripada acara pecut itu, kemungkinan untuk dia kembali mungkin tipis.

Ketua jurulatih kebangsaan Zainal Abas enggan mengulas lanjut manakala presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim tidak membalas panggilan telefon dan mesej yang dihantar untuk penjelasan.

Dengan penyingkiran Komalam itu, harapan Malaysia dalam acara pecut kini disandarkan kepada Zaidatul Husniah Zulkifli, yang diharap memenangi emas berganda acara 100m dan 200m pecut, selepas kali terakhir dilakukan G Shanti.

Husniah akan menjadi wakil tunggal negara dalam acara 200m kerana KOM memutuskan tidak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Komalam.

Siti Fatima Mohammad akan bersama-sama Husniah dalam acara 100m manakala Azreen Nabila Alias dan Norris Foo melengkapkan senarai kuartet untuk 4x100m.

Acara olahraga Sukan SEA akan bermula dengan acara maraton pada Sabtu ini, diikuti acara lain pada Selasa depan.

Berita Harian X