Jumaat, 11 Ogos 2017 | 5:44pm
ATLET lompat jauh negara, Abdul Latif Romly giat menjalani latihan di Stadium Mini MSN, Bukit Jalil bagi persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Foto Osman Adnan

Latif fokus perkemas teknik lompatan

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat jauh negara, Abdul Latif Romly mengakui sedang memperkemaskan teknik lompatan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung minggu depan.

Abdul Latif menjelaskan teknik lompatan adalah perkara paling utama dalam menentukan keputusan yang akan dicapai.

Malah, pemenang pingat emas Kejohanan Olahraga Para 2017 di London itu turut menegaskan betapa dia sama sekali tidak memikirkan soal untuk mendapatkan pingat pada temasya dwitahunan itu bagi mengelak sebarang tekanan.

"Sekarang ini saya sangat fokus kepada memperkemaskan teknik lompatan saya. Kalau teknik lompatan tidak betul, susah untuk saya mendapat keputusan yang baik.

"Saya memang tidak meletakkan sasaran untuk mendapatkan pingat dan hanya mahu cuba mengatasi rekod lompatan 7.6 meter yang saya lakukan di Sukan Paralimpik RIO.

"Cuma saya fikir, kalau dapat pingat itu hanya bonus kepada saya yang kali pertama menyertai Sukan SEA," katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan Exco Belia dan Sukan negeri Perlis, Datuk Abdul Jamil Saad di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Abdul Latif menyumbang beberapa kejayaan besar di peringkat antarabangsa selepas meraih pingat emas bagi acara lompat jauh T20 lelaki pada temasya Sukan Paralimpik Rio, dengan rekod dunia, 7.60 meter, September tahun lalu.

Malah, dia terus mengharumkan nama negara di London pada bulan lalu apabila meraih emas di Kejohanan Olahraga Para 2017 dengan lompatan sejauh 7.37 meter.

Mengulas lanjut mengenai kunjungan Abdul Jamil ke MSN, Abdul Latif menjelaskan betapa ia satu penghormatan yang besar daripada kerajaan negeri Perlis.

"Sebagai atlet, kami sudah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan sekarang ini kami sangat memerlukan sokongan tambahan daripada semua pihak.

"Jadi kunjungan daripada Datuk Abdul Jamil sudah pasti menyuntik moral dan motivasi terbaik kepada kami untuk mencipta kejayaan pada Sukan SEA nanti," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X