Khamis, 10 Ogos 2017 | 10:33pm
SKUAD olahraga 4x100 meter wanita (dari kiri) Norris Foo, Fathin Faqihah Mohd Yusuf, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Azreen Nabila Alias. -Foto Saifullizan Tamadi.

Trio muda teruja mandi peluh di Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Tiga pelari muda negara, Fatin Faqihah Mohd Yusof, Azreen Nabila Alias dan Norris Foo teruja untuk beraksi buat pertama kali di temasya dwi tahunan, Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara 4x100 meter.

Masalah yang melanda pelari senior S Komalam Shally membuka ruang buat tiga pelari muda itu disenaraikan dalam skuad negara.

Biarpun mengakui wujudnya tekanan, namun peluang yang diberi perlu di galas sebaik mungkin bagi memastikan yang terbaik diberi untuk negara.

Kata Fatin, kepercayaan yang diamanahkan oleh jurulatih dan dipersetujui oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) itu perlu dibalas dengan kejayaan biarpun sedar misi menghadiahkan pingat emas buat negara adalah sukar.

"Kami akan cuba buat yang terbaik biarpun tidak pernah bersama sebelum ini tapi itu bukan masalah selepas dapat berlatih bersama.

"Sesungguhnya saya gembira dalam beraksi dalam acara 4x100m ini biarpun acara itu bukanlah acara saya tapi saya sudah bersedia untuk beraksi," katanya yang akan beraksi dalam tiga acara 400m, 4x400m dan 4x100m.

Sementara itu bagi pelari senior negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, dia percaya kemampuan tiga atlet muda itu kerana mereka sudah mempunyai pengalaman.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan dan berlari bukan satu yang susah cuma ada beberapa kelemahan yang perlu diperkemaskan terutama ketika pertukaran baton," katanya yang optimis kuartet negara mampu menghadiahkan pingat.

Statistik terkini menunjukkan potensi kuartet negara meraih podium adalah tipis dengan catatan rekod kebangsaan 45.18s belum cukup menjanjikan emas buat kem negara.

Dua tahun lalu di Singapura acara berganti-ganti tu menjadi milik kuartet Thailand yang merekodkan 44.27s, Vietnam perak 44.77s dan gangsa milik Malaysia 45.41s.

11 dibaca
Berita Harian X