Rabu, 9 Ogos 2017 | 3:59pm
S KOMALAM (kiri) bersama atlet 4x100 meter menjalani latihan di padang MSN Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Balamurugan akur hukuman terhadap Komalam

KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut wanita negara M Balamurugan akur dengan dengan keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menggugurkan pelari S Komalam Shally berhubung isu disiplin.

Biarpun mengakui persiapan kuartet 4x100 meter akan sedikit terjejas menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, beliau sedia menerima sebarang kemungkinan kerana sudah dimaklumkan lebih awal oleh KOM mengenai kemelut membabitkan Komalam sejak tiga bulan lalu.

"KOM tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan saya perlu patuhi arahan.

"Sudah banyak peluang diberikan kepadanya dan saya rasa lebih enam atau tujuh kali amaran diberikan," katanya.

Namun Balamurugan tetap optimis gandingan membabitkan pelari senior dan junior mampu menghadiahkan pingat buat negara.

"Saya yakin pelari junior yang menggantikan tempat Komalam dapat menggalas tugas yang diamanahkan dan misi pemburuan pingat bukan mustahil," katanya.

Tanpa kelibat Komalam yang beraksi sebagai pelari ketiga dalam kuartet 4x100 meter, skuad negara kini akan dibarisi Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatima Mohamad, Azreen Nabila Alias, Fatin Faqihah Mohd Yusof dan Norris Foo sebagai simpanan.

Penyenaraian atlet remaja terpaksa dilakukan selepas Shareen Samsom Vallabouy mengalami kecederaan.

Begitupun berdasarkan statistik, kedudukan kuartet negara untuk meraih emas adalah tipis dengan catatan rekod kebangsaan 45.18s belum cukup menjanjikan emas buat kem negara.

Dua tahun lalu di Singapura acara berganti-ganti tu menjadi milik kuartet Thailand yang merekodkan 44.27s, Vietnam perak (44.77s) dan gangsa milik Malaysia (45.41s).

Berita Harian X