Sabtu, 5 Ogos 2017 | 7:00pm
JURULATIH negara, Mohd Poad Md Kassim tidak menolak kemungkinan untuk Khairul Hafiz (kanan) berlari dalam acara 4x400m namun segala-galanya perlu bergantung kepada prestasi semasa atlet berkenaan. - Foto Luqman Hakim Zubir

KL2017: Khairul sedia sertai 4x400m

SHAH ALAM: Raja pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan sedia menyertai acara 4x400 meter (m) sekiranya ditawarkan berbuat demikian pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Pemegang rekod kebangsaan dalam acara 100m, 200m dan 4x100m itu menegaskan dirinya sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas sebarang bentuk cabaran yang bakal diberikan pada temasya itu.

"Kalau saya diberi peluang untuk berlari acara berpasukan 4x400m, saya akan tetap berlari kerana ia memerlukan semangat berpasukan. Bagi saya ia bukan satu masalah.

"Lagipun jurulatih dan rakyat Malaysia sudah memberikan kepercayaan kepada saya dan jika ada rezeki saya akan berlari.

"Saya sudah bersedia untuk menyertai keempat-empat acara (100m, 200m, 4x100m dan 4x400m) di Sukan SEA Kuala Lumpur nanti," katanya selepas majlis pelantikannya sebagai duta minuman isotonik jenama 100 PLUS selama dua tahun, dekat sini, hari ini.

Khairul Hafiz sebelum ini pernah menyertai acara 4x400m pada temasya Sukan Malaysia Sarawak 2016.

Sementara itu, jurulatih negara, Mohd Poad Md Kassim tidak menolak kemungkinan untuk Khairul Hafiz berlari dalam acara itu namun segala-galanya perlu bergantung kepada prestasi semasa atlet berkenaan.

"Penyertaan Khairul Hafiz dalam acara 4x400m masih lagi rahsia. Tapi secara keseluruhan dia berada dalam keadaan baik sewaktu latihan dan saya hanya khuatir akan kecederaan.

"Tapi kita akan mencadangkan nama Badrul (Hisyam Abdul Manap) dalam acara 4x400m kepada jurulatih yang mengendalikannya jika masih cergas ketika acara 4x100m.

"Ini kerana jika diikutkan catatan masa semasa, Badrul mempunyai catatan terbaik dalam acara 400m. Dia juga tidak beraksi dalam acara individu," katanya.

Semalam media melaporkan khidmat dua atlet pecut negara, Khairul Hafiz dan Badrul Hisyam Abdul Manaf kemungkinan besar ditagih bagi memperkuatkan kuartet 4x400m pada saingan KL2017.

Bagaimanapun, penyertaan itu bergantung kepada tahap kecergasan mereka memandangkan bakal menyertai acara 100m, 200m dan 4x100m.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara 4x400m adalah pada Sukan SEA Korat 2007 menerusi kuartet dibarisi Mohd Zafril Mohd Zuslaini, Mohd Zaiful Zainal Abidin, Subramaniam Thipan dan Krishnan Amran Raj.

Pada Sukan SEA Palembang 2011, kuartet negara dibarisi S Kannathasan, P Yuvaraaj, Schzuan Ahmad Rosely dan Mohd Yunus Lasaleh melakar kejutan memenangi emas tetapi pingat berkenaan ditarik balik selepas Yunus disahkan gagal dalam ujian anti doping.

Berita Harian X