Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:56am

IAAF terus gantung Russia

LONDON: Russia terus digantung daripada menyertai kejohanan padang dan balapan antarabangsa kerana tidak menjalankan usaha secukupnya berhubung isu doping.

Majlis Persekutuan Olahraga Dunia (IAAF) mengumumkan, mesyuarat IAAF di London, mengundi sebulat suara untuk mengekalkan penggantungan terhadap Persekutuan Olahraga Russia (RusAF).

Russia dipersalahkan dalam laporan Agensi Anti-Doping Dunia tahun lalu berikutan merebaknya penyalahgunaan bahan terlarang yang didalangi kerajaan.

Pasukan olahraga mereka dilarang daripada menyertai Sukan Olimpik Rio tahun lalu dan akan juga terlepas Kejohanan Dunia IAAF, yang berlangsung di London, Jumaat ini.

Bagaimanapun, ada atlet Russia dibenarkan oleh IAAF untuk bersaing selaku atlet berkecuali selepas mengikuti kriteria tertentu terutama dengan menunjukkan mereka melalui ujian antidoping yang telus.

Presiden IAAF, Sebastian Co, mengesahkan 19 atlet Russia berada di London bagi menyertai kejohanan itu. - AFP

Berita Harian X