Selasa, 10 Disember 2019 | 9:52pm
PELUMBA pasukan Cyan Performance Lynk & Co, Yann Ehrlacher. - Foto Eizairi Shamsudin

Ehrlacher teruja aksi sulung di Sepang

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Cyan Performance Lynk & Co, Yann Ehrlacher mengakui perlumbaan sulung World Touring Car Cup (WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini memberi cabaran yang cukup berbeza untuk dirinya.

Ia berikutan ini kali pertama dia akan beraksi di litar kebanggaan Malaysia itu namun dalam masa sama turut bertekad menamatkan perlumbaan eksklusif empat roda berkenaan di kedudukan lima terbaik.

“Sudah pasti perlumbaan di Sepang agak pelik dan berbeza berbanding di permukaan gunung ais apatah lagi suhu di Malaysia agak panas,” kata pelumba kelahiran Perancis itu.

“Saya juga tidak pernah berlumba di Sepang dan ini adalah kali pertama saya ke Malaysia. Saya hanya ‘berlumba’ di Sepang menggunakan simulator dan hanya akan mencuba litar sebenar Jumaat ini.

“Justeru, saya akan berusaha untuk menamatkan saingan dalam kedudukan lima terbaik,” kata Ehrlacher yang akan berlumba menggunakan jentera Lynk & Co 03 TCR ketika ditemui dekat sini, hari ini.

SIC bakal melakar sejarah baharu apabila menganjurkan 'Races of Malaysia' yang menyajikan dua perlumbaan eksklusif membabitkan jentera dua roda dan empat roda serentak pada Sabtu dan Ahad. 

KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali bersama para pelumba pelumba EWC dan WTCR di Dataran Merdeka. - Foto Eizairi Shamsudin

Buat julung kalinya, SIC akan dibanjiri penunggang dan pemandu profesional yang masing-masing bakal beraksi dalam Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) dan WTCR.

Kedua-dua perlumbaan berkenaan menyediakan keunikan tersendiri selain berbeza berbanding kejuaraan yang pernah dianjurkan di Sepang seperti Formula Satu (F1) dan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan perlumbaan EWC dan WTCR lebih tertumpu kepada kerjasama berpasukan, ketahanan mental serta fizikal dan jentera.

Lebih menarik lagi, saingan EWC dan WTCR dijadual berlangsung di bawah lampu limpah baharu yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ogos tahun lalu. 

Sebagai pengenalan, perlumbaan dua roda EWC yang juga dikenali 'Sepang 8 Hours' ini adalah julung kali dianjurkan di SIC dan ia adalah pusingan kedua dalam kalendar kejuaraan EWC musim 2019-2020 selain menjadi pusingan kelayakan bagi pasukan Asia untuk layak ke Suzuka 8 Hours tahun depan.

Kira-kira 51 pasukan daripada Eropah, Jepun dan Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand bakal berentap dalam perlumbaan menguji ketahanan fizikal dan mental ini tatkala jumlah maksimum motosikal di grid perlumbaan adalah 60.

Bagi WTCR yang menyediakan cabaran perlumbaan empat roda, dianggarkan tujuh juara dunia bagi kejuaraan itu akan beraksi di Sepang dengan Malaysia turut diwakili Hafizh Syahrin Abdullah - yang bakal membuat penampilan sulungnya dalam perlumbaan kereta.

Perlumbaan WTCR di Sepang adalah saingan kemuncak musim 2019 dengan penentu gelaran juara bagi klasifikasi pelumba dan pasukan bakal ditentukan di Malaysia. 

Berita Harian X