Isnin, 4 November 2019 | 8:23am
Juara Pemandu Dunia Formula Satu Lewis Hamilton dari Great Britain dan Mercedes GP meraikan kejuaraan F1 Grand Prix Amerika Syarikat di Litar Amerika di Austin, Texas. - Foto AFP

Hamilton hampiri rekod Schumacher

AUSTIN: Lewis Hamilton merangkul gelaran juara dunia buat kali keenam, tetapi bukan dengan gaya yang diharapkan apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua di belakang rakan sepasukan dari Mercedes, Valtteri Bottas pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat (AS).

Pemandu British berusia 34 tahun itu berjuang memenangi perlumbaan selepas bermula dari petak kelima, tetapi gagal menyaingi pemandu dari Finland itu yang bermula dari petak utama dan menggunakan strategi dua hentian.

Selepas dua kali mendahului, Hamilton dipintas Bottas ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan dan dia bersaing dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen untuk merangkul penamat di podium ke-150 dan ke-31 berturut-turut dengan kutipan mata.

Gelaran juara dunia buat kali keenam itu meletakkan Hamilton semakin menghampiri tujuh gelaran yang dimiliki Michael Schumacher.

Kejayaan pada musim 2019 itu menambah koleksi kejayaan yang diraih pada musim 2008, 2014, 2015, 2017 dan 2018.

“Saya tak percaya, terima kasih banyak,” kata Hamilton yang kini tidak lagi terikat dengan pencapaian pelumba Argentina, Juan-Manuel Fangio pada lima gelaran.

“Ia amat menggembirakan. Jujur saya katakan perlumbaan hari ini adalah sukar, Valtteri melakukan kerja yang hebat. Sebagai atlet saya rasa segar dan kami akan terus bekerja keras untuk baki musim ini.

“Keluarga saya berada di sini dan ini satu penghormatan untuk berada di sini dengan gelaran keenam bersama orang-orang yang hebat.

“Ketika berusia enam atau tujuh tahun ayah memberitahu saya supaya tidak berputus asa dan ia adalah moto keluarga.”

Ia adalah kemenangan keempat Bottas musim ini dan ketujuh dalam kariernya.

“Amat bagus untuk menang,” kata Bottas. “Secara peribadi matlamat saya tahun ini gagal, namun Lewis berhak akan kejayaannya. Dia memiliki musim yang baik.” – AFP

Berita Harian X