Ahad, 3 November 2019 | 7:51pm
PENUNGGANG MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah sebak selepas menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. - Foto BERNAMA

Air mata Hafizh gugur di Sepang

SEPANG: Penunggang MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia tahun ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.

Selepas dua musim beraksi di kelas elit itu, pelumba pasukan Red Bull KTM Tech3 dijadual kembali beraksi dalam kelas pertengahan Moto2 tahun depan dan dia mengakhiri saingan di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini di kedudukan ke-16.

“Perlumbaan tadi walaupun kurang baik tapi saya bersyukur, Alhamdulillah dapat menamatkan saingan di tempat ke-16 dan menghabiskan perlumbaan dengan cukup baik berbanding sebelum ini.

“Tapi saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang datang memberikan sokongan serta mengharapkan keputusan terbaik.

“Apa pun saya berharap tahun depan saya dapat melakukan yang terbaik dalam Moto2, dan agak sedih apabila meninggalkan perlumbaan kelas MotoGP. Kalau jentera saya lebih bagus, Insya-Allah lebih senang untuk cipta keputusan tapi tiada apa-apa perubahan dari jentera walaupun mekanik bertungkus lumus membantu saya,” kata Hafizh yang turut mengalirkan air mata ketika ditemui sejurus tamat perlumbaan, dekat sini, hari ini.


PENUNGGANG MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah melambai ke arah orang ramai selepas menamatkan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. - Foto BERNAMA

Begitupun, Hafizh dalam masa sama menegaskan dia tidak berputus asa meskipun ‘diturunkan pangkat’ pada 2020, malah bertekad mahu kembali ke kelas perdana berkenaan menjelang perlumbaan musim 2021.

“Ini perlumbaan terakhir rakyat Malaysia melihat saya beraksi dalam MotoGP. Insya-Allah kalau ada rezeki mungkin saya akan kembali dalam MotoGP pada 2021.

Tapi saya kena berikan saingan terbaik untuk 2020,” kata Hafizh yang mengakui merindui saat ketika menamatkan saingaan MotoGP dalam kelompok 10 terbaik di Sepang.

Penunggang jentera bernombor 55 itu turut menghargai peluang diberikan pasukannya untuk beraksi dalam kelas utama permotoran serta dapat bersaing bersama jagoan dari seluruh dunia, selain memohon maaf jika terdapat salah dan silap.

Dalam perkembangan lain, Hafizh mengakui kes kecurian membabitkan beberapa komponen dan barangan di beberapa paddock pasukan yang bertanding di Sepang memalukan negara, sekali gus berharap perkara itu tidak akan berlaku lagi selepas ini.

Pelumba kelahiran Selangor itu dalam masa sama menafikan terdapat unsur sabotaj terhadap pasukan yang bakal disertainya iaitu Angel Nieto pada musim depan.

Berita Harian X