Ahad, 3 November 2019 | 1:40pm
HASBULLAH ketika tiba di Sepang, khamis lalu.

Hasbullah lengkapkan kembara ke Buriram, Sepang 

SEPANG: Litar Antarabangsa Sepang menjadi destinasi kedua buat Hasbullah Zainuddin untuk menyaksikan pusingan ke-18 Kejuaraan Motosikal Dunia - Grand Prix (GP) Malaysia - selepas pengembaraan solonya dari Jitra, Kedah ke Litar Antarabangsa Chang, Thailand sejauh lebih 1,000 kilometer awal Oktober lalu, berjaya. 


HASBULLAH di thailand.

Lebih manis, kehadirannya di litar laman sendiri PETRONAS Sepang Racing Team itu turut menggunakan motosikal Yamaha Y15ZR miliknya berkonsepkan corak pasukan yang sebelum ini menarik perhatian prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali. 

Mengulas mengenai perjalanannya ke Buriram dengan menggunakan motosikal berkonsepkan warna pasukan itu, Hasbullah yang juga seorang pengusaha kedai makan Abang Roti berkata, dia sudah memasang niat untuk ke sana selepas menyaksikan ujian rasmi musim sejuk (MotoGP) di Sepang, Februari lalu. 

Peminat tegar Valentino Rossi itu berkata: "Niat ini mula tercetus pada Februari lalu ketika menyaksikan ujian musim sejuk (MotoGP) di Sepang.

“Selepas itu, saya mula mengubah warna motosikal saya kepada warna pasukan (PETRONAS Sepang Racing Team) untuk ke Buriram. 

"Sebelum ini, saya pernah juga ke Thailand seperti ke Phuket namun ia secara berkumpulan dan tidak terlalu jauh seperti ke Buriram ini.

“Jadi, ini kali pertama saya menunggang motosikal ke Buriram, berseorangan dan syukur tiada perkara buruk berlaku kecuali hujan." 

Hasbullah membelanjakan kira-kira RM2,000 bagi menampung kos minyak, penginapan dan makanan di sepanjang perjalanannya ke Buriram dan katanya, perjalanan ke Buriram berbaloi kerana diberi 'pas istimewa' untuk melihat secara dekat PETRONAS Sepang Racing Team dan pasukan idolanya, Monster Energy Yamaha MotoGP. 

"Sewaktu di sebuah kedai makan di Buriram, kebetulan Datuk Razlan ada di situ.

“Beliau terkejut yang saya ke sana dari Malaysia (menggunakan motosikal).

“Keesokan hari, beliau membawa saya ke garaj, hospitaliti pasukan dan berpeluang bertemu dengan pelumba mereka. 

"Tentunya saya teruja dan gembira dengan peluang yang tak dijangka ini," kata ahli kelab motosikal Jitra Krew Bikers itu yang juga ahli Kroni 4646 itu.

"Satu kenangan manis buat saya,” katanya yang turut menerima layanan serupa ketika tiba di Sepang.

 

 

Berita Harian X