Jumaat, 6 September 2019 | 10:07pm
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mempunyai misi tersendiri di Mini Stadium Majlis Perbandaran Teluk Intan, Perak hujung minggu ini. - NSTP/Ihsan Petronas Cub Prix

Afif, PETRONAS Sprinta harap tuah di Teluk Intan

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mempunyai misi tersendiri di Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia

PETRONAS 2019 yang dijadual berlangsung di Mini Stadium Majlis Perbandaran Teluk Intan, Perak hujung minggu ini.

Ketika ini, Afif mendahului carta kelas perdana CP150 dengan 94 mata, tampak sedang memburu kemenangan ketiga berturut-turutnya di Teluk Intan sejak kali pertama meraihnya pada 2017.

Malah, tahun lalu pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing turut meraih keputusan cemerlang apabila Afif dan Allahyarham Md Hafiz Nor Azman merangkul penamat 1-2.

Begitupun, bagi penolong pengurus pasukan, Mohammad Syafari Saad atau dikenali Amir, peluang untuk menawan litar berkenaan tetap terbuka kepada semua pesaing biarpun Teluk Intan adalah antara trek kegemaran Afif.

"Keputusan Afif di sana memang bagus pada setiap tahun sebelum ini," kata Amir. "Walaupun begitu, pasukan lawan juga mempunyai kekuatan tersendiri. Jadi persaingan itu ada.

"Kami akan mengikut kepada perancangan yang sudah diatur. Kami juga tidak tahu mengenai keupayaan pesaing seperti prestasi pelumba dan juga jentera mereka di sana nanti. Apapun, kami akan cuba yang terbaik."

Selain Afif, turut menjadi sandaran pasukan di Teluk Intan kali ini adalah Md Aiman Tahiruddin dan Saiful Azhary Muhamad.

Pada pusingan lalu di Kuala Terengganu 24 Ogos lalu, Afif menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala kemenangan menjadi milik pelumba IDEMITSU Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar.

143 dibaca
Berita Harian X