Selasa, 3 September 2019 | 6:21pm
Adam Norrodin ketika beraksi dalam Pusingan Satu Perlumbaan Dua SS600 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto Luqman Hakim Zubir

Torete 'pulang' ke Kejuaraan Motosikal Dunia

KUALA LUMPUR: Adam Norrodin kembali lebih 'awal' ke saingan Kejuaraan Motosikal Dunia selepas diberi tanggungjawab untuk menggantikan sementara tempat Khairul Idham Pawi di Grand Prix (GP) San Marino, 15 September ini. 

Pelumba yang diberi julukan 'Torete' itu kembali ke pangkuan pasukan PETRONAS Sprinta Racing selepas musim lalu menggalas tugasan dalam kelas Moto3. 

Peluang ini tentunya amat berharga buat Adam yang pada musim ini menyertai Kejuaraan Moto2 Eropah - pentas latihan untuknya mendalami selok belok saingan kelas Moto2. 

"Saya sangat gembira diberi peluang ini, seperti mimpi menjadi kenyataan," kata Adam. "Ada sesuatu yang baharu untuk saya pelajari tetapi ia akan menjadi perkara yang menarik buat diri saya, satu kisah baharu dalam kehidupan saya. 

"Sesuatu yang menarik apabila dapat kembali ke saingan dunia kerana saya merindui cabaran, orang dan bagaimana kamu dapat meningkatkan kemampuan pada setiap minggu di sana. 

"Motosikal akan sedikit berbeza daripada yang biasa saya gunakan tetapi saya teruja untuk mencubanya. Fokus utama saya untuk minggu itu nanti adalah untuk cuba dan mengenali motosikal bagi mempersiapkan diri bagi masa akan datang. 

"Bagi saya, ia adalah satu peluang yang hebat tetapi dalam masa sama, saya harap KIP (Khairul Idham Pawi) dapat pulih dengan cepat dan kembali dalam kejuaraan bagi membuktikan kemampuan dirinya."

Setakat lima perlumbaan musim CEV 2019, Adam ketika ini sudah mengumpul 35 mata untuk berada di tangga ke-11 dalam carta pelumba dan ketiga terbaik daripada senarai pelumba Asia Tenggara.

 

 

1006 dibaca
Berita Harian X