Rabu, 14 Ogos 2019 | 10:22pm
Khairul Idham selepas menjalani pembedahan kali kedua.

Pembedahan kedua SuperKIP berjaya

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi selamat menjalani pembedahan kedua di bahagian jari kelingking kanannya di Institut Traumatologi dan Perubatan Sukan Catalan (ICATME), Barcelona semalam dan dijadual kembali ke tanah air untuk proses pemulihan. 

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing dalam kelas Moto2 itu kembali beraksi di Grand Prix (GP) Republik Czech dua minggu lalu namun terpaksa menarik diri daripada perlumbaan selepas kecederaannya masih belum pulih 100 peratus. 

Dalam pembedahan berlangsung selama dua jam, jari kelingking Khairul Idham atau dikenali SuperKIP dimasukkan sebatang skru dan pakar bedah, Dr Xavier Mir berkata: "Khairul Idham melakukan pembedahan di bahagian jarinya tiga bulan lalu dan setakat ini, proses penyembuhannya berlangsung dengan baik. 

"Untuk kali ini, pembedahan kali kedua ini dilakukan bagi membantu pembinaan semula tulangnya."

Sebelum ini, pasukan menjangkakan SuperKIP - yang sudah tercicir lapan pusingan musim - dapat kembali beraksi di saingan dunia dalam tempoh dua bulan lagi di GP Thailand. 

Khairul Idham dalam pada itu berkata: "Saya sekali lagi berterima kasih kepada Dr Mir dan pasukannya kerana pembedahan kedua ini. Saya bersyukur atas segala usaha dilakukan mereka untuk membolehkan saya kembali cergas. 

"Sekarang adalah masanya untuk saya kembali ke Malaysia, meluangkan sedikit masa bersama keluarga sebelum kembali berlatih dengan gigih bagi menghadapi saingan Moto2 secepat mungkin. 

"Saya juga berterima kasih kepada semua sokongan yang diberikan pasukan, rakan dan juga peminat. Saya tidak sabar untuk kembali beraksi bersama motosikal PETRONAS Sprinta Racing semula!."

1077 dibaca
Berita Harian X