Isnin, 12 Ogos 2019 | 6:29pm
RAZLAN (kanan) memberi kata motivasi kepada Ayumu Sasaki sebelum perlumbaan GP Austria, semalam.

Razlan tagih keputusan lebih baik

 

KUALA LUMPUR: Prinsipal pasukan PETRONAS Sepang Racing, Datuk Razlan Razali berharap dua pelumbanya - Franco Morbidelli dan Ayumu Sasaki dapat kembali menemui rentak terbaik mereka pada baki sembilan perlumbaan musim ini.

Morbidelli yang beraksi dalam kelas perdana MotoGP menamatkan perlumbaan di Litar Red Bull Ring-Spielberg di tempat ke-10 selepas bermula dari petak ke-14 manakala Sasaki (kelas Moto3) ke-13.

“Hujung minggu yang menakjubkan," kata Razlan. "Penamat di podium untuk John McPhee (Moto3) dan Fabio Quartararo (MotoGP). "Kami sangat gembira dengan keputusan ini tetapi tidak bermakna kami akan mengambil mudah saingan seterusnya dan kami mahu meneruskan usaha gigih ini.

"Masih ada sembilan pusingan, saya berharap Frankie (Morbidelli) dan Ayumu (Sasaki) dapat bangkit kuat semula kerana kami mahu semua pelumba berada di depan. 

"Hari seperti hari ini (kelmarin), kamu berada gembira - tetapi kamu sentiasa mahukan sesuatu yang lebih lagi. 

"Kami mahu melakukan yang lebih baik di setiap pusingan. Banyak harapan tinggi diletakkan dan kami harus meneruskan usaha gigih ini untuk mencapainya."

Selain dua penamat di podium itu, wakil SIC Racing Team dalam saingan baharu di Kejuaraan Dunia, kelas MotoE, Bradley Smith (One Energy Racing) turut meraih penamat di tempat ketiga. 

Malah, dua pelumba kem Pembangunan Bakat SIC - Adam Norrodin dan Kasma Daniel Kasmayudin - turut meraih kemenangan dalam kelas SupreSports 600cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Zhuhai.

Berita Harian X