Isnin, 12 Ogos 2019 | 6:27pm
PELUMBA Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo. - Foto AFP

Atasi Rossi, Vinales umpama mimpi

 

KUALA LUMPUR: Bagaikan mimpi!. 

Itu kata Pengurus Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT), Wilco Zeelenberg mengenai Fabio Quartararo yang mampu mengatasi dua pelumba pasukan utama Yamaha - Valentino Rossi dan Maverick Vinales di Litar Red Bull Ring-Spielberg yang sukar buat pelumba dan pengeluar itu.

Quartararo meraih penamat di tempat ketiga selepas bermula dari petak kedua dan kali terakhir pelumba Yamaha berada di podium adalah pada 2016 menerusi Jorge Lorenzo. Ketika itu, Lorenzo menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala Rossi keempat. 

"Saya sangat bimbang mengenai perlumbaan ini tetapi Michelin memberi tayar belakang yang sesuai dan lebih baik dengan Yamaha berbanding beberapa tahun sebelum ini," kata Zeelenberg. 

"Ini dapat dibuktikan dengan keputusan di tempat ketiga, keempat dan kelima daripada Fabio, Valentino dan Maverick. Untuk Fabio mengatasi mereka, saya gambarkan ia seperti satu mimpi biarpun sekiranya dia lebih bernasib baik pada permulaan saingan dan berada dalam kedudukan tepat ketika Marc (Marquez) melakukan kesilapan. 

"Fabio mampu memecut dengan rentak tersendiri pada awal saingan, sebelum membuat keputusan bijak menukar kepada penggunaan elektronik lebih selamat dan menjimatkan penggunaan tayar sehingga ke garisan penamat. 

"Dia tampak sedikit bergelut untuk mencari keserasian dengan motosikal dan kami tahu, trek ini adalah antara yang sukar buat dirinya."

Selepas 11 pusingan, Quartararo ketika ini terus mendahului carta muka baharu (rookie) MotoGP dengan 92 mata dan berada di tangga ketujuh keseluruhan pelumba dalam kelas perdana itu. 

Pusingan ke-12 dijadual berlangsung di GP British dekat Litar Silverstone dari 23 hingga 25 Ogos ini.

 

 

1652 dibaca
Berita Harian X