Ahad, 11 Ogos 2019 | 12:32am
Marquez raih petak utama GP Austria. - Foto AFP

Marquez raih petak utama GP Austria

SPIELBERG, Austria: Marc Marquez akan memulakan Grand Prix (GP) Austria di petak utama selepas juara dunia dari Honda itu memecahkan rekod sepusingan terpantas Litar Red Bull Ring pada sesi kelayakan, hari ini.

Kejayaan penunggang kelahiran Sepanyol itu turut menyaksikannya mengatasi rekod memulakan perlumbaan di petak utama yang sebelum ini dipegang legenda Australia, Mick Doohan dengan 59 petak utama di kelas elit.

Begitupun, Marquez yang tampak berada di landasan untuk memenangi gelaran dunia keenam dalam kelas MotoGP masih memburu kemenangan pertamanya di Litar Red Bull Ring.

Marquez menyamai rekod petak utama yang dipegang Doohan pada perlumbaan sebelum ini di Brno.

Selepas tampil bertenaga ketika sesi latihan bebas, pelumba berusia 26 tahun itu membuktikan bakat istimewa miliknya dengan mencatat rekod terbaru litar 1 minit 23.027 saat.

Menyertainya di barisan hadapan ialah pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Fabio Quartararo dengan penunggang Itali, Andrea Dovizioso dari Ducati yang memburu kemenangan keempat berturut-turut di Austria di petak ketiga.

Barisan kedua diisi pelumba Yamaha, Maverick Vinales, Francesco Bagnaia (Ducati-Pramac) dan pelumba Jepun Takaaki Nagakami (Honda-LCR). - AFP

Berita Harian X