Sabtu, 10 Ogos 2019 | 10:11pm
Pelumba PETRONAS Sprinta Racing, Ayumu Sasaki dikenakan penalti grid. - Foto AFP

Malang buat Sasaki di Austria

KUALA LUMPUR: Ayumu Sasaki mencatat masa kedua terpantas pada sesi kelayakan kedua Moto3 namun bakal memulakan perlumbaan Grand Prix (GP) Austria esok dari petak ke-12 selepas dikenakan penalti grid. 

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu dan rakan senegaranya Ai Ogura dari pasukan Honda Team Asia, Ai Ogura dikenakan penalti 12 grid selepas pembantu perlumbaan mendapati kedua-dua mereka menunggang secara tidak bertanggungjawab pada sesi latihan bebas kedua, semalam. 

Pada sesi kelayakan hari ini, Sasaki mencatat masa sepusingan 1 minit 36.511 saat (s) dan hanya 0.051s di belakang Romano Fenati (VNE Snipers) yang menyambar petak utama perlumbaan di Litar Red Bull Ring-Spielberg, esok. 

Rakan sepasukan Sasaki dari Scotland, John McPhee pula bakal memulakan perlumbaan 23 pusingan itu dari petak ketiga selepas mencatat 1'36.690s pada sesi kelayakan kedua. 

Melengkapkan barisan utama adalah Jaume Masia yang mencatat 1'36.689s. 

Selepas 10 pusingan musim, Sasaki ketika ini sudah mengumpul 34 mata untuk berada di tangga ke-19 keseluruhan dalam carta pelumba Moto3. 

McPhee yang pernah meraih kemenangan di GP Perancis, berada di tangga ketujuh dengan 68 mata, 80 mata di belakang pendahulu dari pelumba pasukan Sterilgarda Max Racing Team, Aron Canet.

517 dibaca
Berita Harian X