Ahad, 2 Jun 2019 | 6:51pm
AHMAD Fazli Sham

Fazli Sham catat kemenangan sulung di Buriram

 

KUALA LUMPUR: Ahmad Fazli Sham meraih kemenangan pertamanya musim ini pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Sirkit Antarabangsa Chang, Buriram di Thailand, hari ini. 

Kemenangan Ahmad Fazli dalam Perlumbaan 2 itu juga adalah mata pertama buat dirinya dalam saingan kelas Underbone 150cc bagi musim 2019. 

“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya," kata Ahmad Fazli yang mewakili pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team. "Ini kemenangan pertama buat saya dan pasukan dalam kelas Underbone musim ini.

“Saya berdoa supaya momentum kemenangan ini akan terus menyebelahi kami pada pusingan akan datang. 

"Saya berasa bangga kerana Buriram menjadi medan buat kami untuk memulakan langkah mencipta kegemilangan,” kata pelumba senior yang mempunyai pengalaman kira-kira 20 tahun dalam kelas underbone itu.

Ahmad Fazli menamatkan enam pusingan perlumbaan dengan catatan keseluruhan 12 minit 20.355 saat.

608 dibaca
Berita Harian X