Ahad, 19 Mei 2019 | 8:44pm
John McPhee meraikan kemenangan dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis, hari ini. - Foto Reuters

McPhee lakar sejarah di GP Perancis

LE MANS: Sejarah tercipta buat PETRONAS Sprinta Racing di bumi Perancis apabila pelumba Moto3, John McPhee membuahkan kemenangan pertama pasukan di Grand Prix (GP) Perancis, hari ini. 

Pelumba berpengalaman dari Scotland itu memulakan perlumbaan dari petak utama di Sirkit Le Mans ini, menamatkan 22 pusingan dengan catatan keseluruhan 37 minit 48.689 saat untuk berada di pentas podium. 

Catatan dilakukan pelumba berusia 25 tahun itu mengatasi pencabar utamanya, Lorenzo Dalla Parta dari Itali yang ketinggalan 0.106s di belakang manakala Aron Canet (Sepanyol) ketiga dengan catatan keseluruhan 37'49.446s.

Lebih manis, kemenangan McPhee itu adalah yang kedua buat dirinya selepas kali terakhir di GP Republik Czech pada musim 2016. 

"Pada musim 2016 saya meraih kemenangan GP pertama dan perlumbaan berkenaan berlangsung dalam keadaan litar basah," kata McPhee.

"Selepas itu pada tahun 2017, saya meraih tiga penamat di podium tetapi tak mampu meraih kejayaan dalam keadaan litar kering.

"Ini kemenangan pertama saya bagi musim ini,kemenangan pertama pasukan dan kemenangan pertama untuk saya dalam keadaan litar kering. Satu detik yang begitu bermakna buat saya. 

"Pasukan PETRONAS sudah menjalankan tugas dengan begitu baik sekali. Mereka terus memberi kepercayaan kepada saya.

"Empat pusingan musim sebelum ini, ia amat sukar kerana saya tak dapat keputusan yang dinginkan namun pasukan terus memberikan kepercayaan dan hari ini kami menikmati minggu yang hebat bersama.”

Dua puluh lima mata yang diraih McPhee di Le Mans membenarkan pelumba itu untuk melonjak ke kedudukan kesembilan keseluruhan bagi saingan Moto3 dengan 34 mata manakala Canet mendahului pemburuan gelaran, 74 mata.

953 dibaca
Berita Harian X