Ahad, 19 Mei 2019 | 5:35pm
Khairul Idham Pawi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Khairul Idham rehat hingga Ogos

LE MANS: Mattia Pasini kemungkinan akan menggantikan slot Khairul Idham Pawi sehingga Grand Prix (GP) Jerman, Julai ini. 

Ia selepas Khairul Idham hanya dijadual cergas 100 peratus daripada proses pemulihan susulan pembedahan jari kelingking kanannya menjelang GP Republik Czech, 4 Ogos ini. 

Ini bermakna Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP bakal membuat kemunculan semula dalam saingan Moto2 di pusingan ke-10 musim di Sirkit Brno.

"Ada satu batang besi kecil (dimasukkan) di jari kelingkingnya dan akan berada di situ selama enam ke tujuh minggu sebelum dia menjalani fisioterapi,” kata Prinsipal Pasukan PETRONAS Sprinta Racing, Datuk Razlan Razali. 

"Berdasarkan tempoh masa sebegitu, kita hanya boleh mengharapkan Khairul Idham kembali berlumba di Brno iaitu selepas rehat musim panas pada Ogos nanti. 

"Satu tempoh pemulihan yang lama dan Khairul Idham akan terlepas lima perlumbaan, kita juga kecewa (dengan insiden berkenaan) kerana dia menunjukkan peningkatan yang baik dan disebabkan kemalangan itu, kemajuan dirinya terjejas. 

"Namun kami akan tetap memberi sokongan. Program untuk Khairul Idham adalah selama dua tahun dan jika masih menunjukkan kemampuan diri, tak mustahil kami akan melanjutkan tempoh masa untuknya memberikan yang terbaik."

Khairul Idham terjatuh di Selekoh 5 sesi latihan bebas pertama (FP1) di GP Sepanyol dua minggu lalu dan terus dikejarkan ke Pusat Perubatan di Sirkit Jerez sebelum disahkan tidak cergas untuk meneruskan saingan. 

Dia kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital di Seville sebelum diterbangkan ke Barcelona untuk menjalani pembedahan bagi menyelamatkan jari kelingkingnya. 

Pembedahan dilakukan pasukan pakar perubatan, Dr Xavier Mir dan Dr Sergi Barrera dari Bahagian Traumatologi Institut Traumatologi dan Perubatan Sukan Catalan (ICATME).

449 dibaca
Berita Harian X