Ahad, 19 Mei 2019 | 9:25am
JUARA dunia, Marc Marquez mencatat masa terpantas kelayakan Grand Prix Perancis dekat Le Mans, awal pagi tadi. -Foto EPA

Marquez sambar petak pendahulu di Le Mans

LE MANS, Perancis: Juara dunia, Marc Marquez menyamai rekod Valentino Rossi dengan 55 kedudukan petak pendahulu MotoGP apabila mencatat masa terpantas kelayakan Grand Prix Perancis dekat Le Mans, awal pagi tadi.

Sesi berkenaan berlangsung dalam kedaan cuaca berubah-ubah yang menjadikan pemilihan tayar sesuatu yang sukar namun Marquez merakam masa terpantas sebelum terjatuh dari jentera Honda miliknya.

Penunggang Sepanyol itu pantas bangun dan meneruskan saingan untuk mencatat masa 1 minit 40.952 saat pada sesi awal ketika litar berkenaan masih kering.

Dia disertai di barisan depan oleh pasangan Ducati, Danilo Petrucci dan Jack Miller bagi saingan pusingan kelima awal pagi esok.

“Hari ini adalah satu daripada hari ia menggelikan hati apabila menjadi pelumba kerana dalam keadaan ini anda tidak tahu sama ada untuk terus menggunakan tayar basah atau kering,” kata Marquez yang berkelebihan satu mata mengatasi pencabar dari Suzuki, Alex Rins dalam kedudukan keseluruhan.

Rins ketinggalan di petak ke-19 awal pagi tadi.

“Dengan hujan renyai-renyai ini, ia memang sukar. Dalam kelayakan kami tahu perlu pantas pada pusingan pertama kerana air masih sedikit di litar. Kemudian apabila air sudah banyak ia menjadi lebih sukar,” kata Marquez selepas mencatat petak pendahulu ketiga dalam lima perlumbaan musim ini. – AFP

203 dibaca
Berita Harian X