Sabtu, 18 Mei 2019 | 8:59pm
JOHN McPhee akan bermula dari petak utama GP Perancis esok.

McPhee sambar petak utama

LE MANS: Grand Prix (GP) Perancis menyaksikan John McPhee menyambar petak utama perlumbaan untuk kali kelima dalam kariernya selepas kali terakhir di Grand Prix (GP) Valencia pada tahun 2015. 

Pelumba Scotland yang bersama pasukan PETRONAS Sprinta Racing itu dijadual memulakan saingan dari petak utama di GP Perancis di Sirkit Le Mans esok selepas mencatat masa terpantas pada sesi kelayakan dengan catatan 1 minit 42.277 saat. 

McPhee memulakan karier penuh dalam kelas Moto3 pada tahun 2013 dan sepanjang tujuh tahun itu, dia meraih satu kemenangan di GP Republik Czech pada 2016. 

Mengulas mengenai petak utama yang diraihnya, McPhee berkata: "Saya tak boleh menyatakan sejauh mana perasaan saya mengenai petak utama ini. 

"Di sepanjang musim ini saya pantas dan mampu melakukan catatan masa sepusingan yang baik tetapi tidak mampu meraih keputusan yang baik (pada perlumbaan). 

"Namun, terima kasih atas kepercayaan diberikan pasukan dan usaha yang diberikan mereka. Hari ini saya dapat membalas usaha yang dilalkukan pasukan. 

"Untuk perlumbaan esok, saya berasa sangat baik. Dalam apa juga keadaan - basah ataupun kering - saya mampu menunggang dengan positif. 

"Apapun, saya kena memikirkan mengenai cuaca, kerana di sini boleh hujan secara tiba-tiba dan kemudiannya kering. Saya dapat rasakan sesuatu yang positif dan sudah bersedia untuk perlumbaan esok." 

Rakan sepasukan McPhee dari Jepun, Ayumu Sasaki dijadual memulakan perlumbaan pusingan kelima musim ini dari petak ke-24 selepas mencatat, 1'44.837s.

703 dibaca
Berita Harian X