Khamis, 16 Mei 2019 | 9:10am
SIRKIT Le Mans

Sasaki,McPhee tak sabar uji sirkit Le Mans

KUALA LUMPUR: Sirkit Le Mans dianggap sukar oleh Ayumu Sasaki namun daripada sudut positif, pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu tetap menyukainya.

Sasaki mengutip satu mata di Grand Prix (GP) Sepanyol dua minggu lalu dan sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik di GP Perancis, minggu ini.

“Saya menyukai Sirkit Le Mans, trek yang sukar tetapi saya menyukainya," kata Sasaki yang terlepas kedudukan penamat dalam kelompok 15 terbaik di Le Mans, tahun lalu.

"Tahun lalu ia agak sukar tetapi saya fikir kali ini ia berbeza.

 

"Kami menukar perancangan sejak di Jerez dan akan memberi tumpuan kepada sesi latihan sebagai persediaan untuk perlumbaan berbanding hanya memikirkan rentak kelajuan sepusingan.

"Kami mempunyai kelajuan di Sepanyol tetapi saya tidak melakukan tugas dengan baik dalam sesi latihan dan pelarasan jentera juga tidak begitu baik untuk perlumbaan."

Sementara itu rakan sepasukan Sasaki, John McPhee menyatakan cuaca bakal memberi cabaran buat dirinya di litar berkenaan.

"Sukar untuk menjangkakan apa yang berlaku di sana apatah lagi cuaca bakal memainkan peranan di sepanjang minggu ini.

"Ia adalah trek yang saya mampu berlumba dengan pantas sebelum ini jadi selain cuaca, saya sebenarnya amat menantikan perlumbaan di sana," katanya.

202 dibaca
Berita Harian X