Khamis, 16 Mei 2019 | 8:15am
MATTIA Pasini. - Foto AFP

Pasini optimis di GP Perancis

KUALA LUMPUR: Mattia Pasini bakal membuat kemunculan pertamanya bersama PETRONAS Sprinta Racing di Grand Prix (GP) Perancis minggu ini dengan misi utamanya bersaing dengan kelompok depan pelumba kelas Moto2.

Pelumba berpengalaman dari Itali itu akan menggantikan Khairul Idham Pawi untuk sementara waktu bermula di Sirkit Le Mans tatkala pencapaian terbaiknya dalam kelas pertengahan di trek berkenaan adalah kelima pada 2017.

"Saya amat fokus menjelang GP Perancis dan akan melakukan sebaik mungkin," kata pelumba berusia 33 tahun itu.

"Objektifnya adalah untuk berada di kelompok depan atau paling tidak berada dalam kelompok lima terbaik.

"Bagi saya selepas menguji motosikal Selasa lalu, saya fikir kami mempunyai potensi yang sangat tinggi. Saya pernah meraih podium dan dua petak hadapan di Le Mans sebelum ini.

"Saya menggemari trek ini. Dengan melakukan banyak pusingan pada minggu ini, kami akan meneruskan usaha untuk mempertingkatkan keupayaan motosikal tetapi sasarannya adalah untuk menjadi sepantas mungkin.

"Ini kerana kami mempunyai asas yang kukuh untuk bekerja. Saya meraih keputusan yang sangat baik di Jerez (ujian), jadi kami harus memberi tumpuan penuh kepada sasaran kami."

210 dibaca
Berita Harian X