Selasa, 14 Mei 2019 | 11:54pm
PENGARAH Pembangunan Pelumba & Media Red Bull MotoGP Rookies Cup, Peter Clifford pada sesi temuramah khas di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

Malaysia berpotensi lahir juara dunia - Clifford

SEPANG: Malaysia mampu untuk melahirkan seorang juara dunia di Kejuaraan Motosikal Dunia dengan syarat setiap pelumba harus mempunyai sikap dahagakan kemenangan dan kekal bermotivasi tinggi. 

Berdasarkan pemerhatian Pengarah Pembangunan Pelumba dan Media Red Bull MotoGP Rookies Cup, Peter Clifford, Malaysia mempunyai infrastruktur terbaik selain program yang tersusun ke arah menyertai kejuaraan dunia dan peluang ini seharusnya digunakan sebaiknya bagi seorang pelumba. 

Namun katanya, seperti negara lain di dunia, kebanyakan pelumba hanya memikirkan 'habuan' jangka pendek yang membawa kepada kemasyhuran serta kemewahan dan perkara itu seharusnya dielak sekiranya mahu menjadi jaguh dunia sebenar. 

"Untuk yang bersaing di kejohanan tempatan, mereka harus percaya bahawa mereka mampu melangkah lebih jauh," kata Clifford yang dalam satu pertemuan dengan media selepas mengadakan perbincangan dengan pihak Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) dan juga pengurus pasukan SIC Junior ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, hari ini. 

"Mereka tidak seharusnya mudah berpuas hati selepas muncul pelumba paling cemerlang dalam arena perlumbaan tempatan. Masalah ini bukan berlaku di Malaysia saja tetapi di mana-mana pun sama. 

"Mereka mungkin berasa puas apabila memasuki televisyen apatah lagi apabila mampu membeli sebuah kereta. Kami tidak mahu pelumba hanya berfikir setakat ini saja. 

"Kami mahu mereka mempunyai pendirian tidak akan pernah berhenti untuk berusaha selagi tidak menjadi juara dunia." 

Mengulas lanjut, Cilfford yang sudah 13 tahun berkecimpung dalam kejuaraan Red Bull Rookies berkata, untuk melahirkan jaguh dunia tentunya memerlukan masa dan tidak akan membuahkan hasil dalam tempoh singkat. 

"Kita boleh melahirkan juara dunia dari Malaysia tetapi perlu ada pelumba muda yang menyertai program ini dan memberi fokus kepadanya selain memastikan yang kita amat memerlukan pelumba ini untuk menjadi juara dunia, sentiasa mahukan kemenangan dan berusaha gigih.

"Selain itu perlu ada budaya kemenangan dan dengan struktur yang ada di Malaysia, barulah kita dapat melahirkan juara dunia," katanya dengan menyatakan kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup sudah melahirkan ramai juara dunia antaranya seperti Johann Zarco, Juan Mir dan Brad Binder.

591 dibaca
Berita Harian X