Selasa, 14 Mei 2019 | 11:46pm
KEADAAN kereta yang dinaiki Adam. - Foto SIC

Adam kemalangan elak monyet

KUALA LUMPUR: Pelumba negara di Kejuaraan Moto2 Eropah, Adam Norrodin mengalami kemalangan ketika menuju ke Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) dari Johor Bahru, hari ini. 

Bagaimanapun Adam yang dikenali sebagai 'Torete' tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan susulan daripada insiden yang berlaku di Seremban itu.

Berikutan itu, dia diberikan rehat oleh pengurus pasukan SIC Junior ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin. 

"Adam mengalami kemalangan ketika sedang menuju ke sini (Sepang) untuk menjalani latihan, pagi tadi. Dia bertolak pada sekitar jam 8 pagi dari Johor ke Sepang dan apa yang saya dengar, dia cuba mengelak monyet di lebuhraya sebelum melanggar lori. 

"Keadaan Adam OK cuma badan sakit dan pening kepala berkemungkinan berpunca daripada hentakan daripada beg udara kereta. Jadi, untuk sehari dua ini, saya membenarkan dia untuk berehat dan selepas itu kembali fokus kepada latihan seperti biasa," kata Zulfahmi. 

Adam dijadual menyertai pusingan ketiga musim di Sirkit Catalunya, Sepanyol pada 7 hingga 9 Jun ini. 

Ketika ini, Adam yang berasal dari Batu Pahat itu sudah mengumpul 15 mata keseluruhan untuk berada di tangga ke-11, 46 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Edgar Pons.

4136 dibaca
Berita Harian X