Selasa, 14 Mei 2019 | 10:23am
Harry Shaw dan keluarga di Surrey. - Foto Sky News

Mercedes rai pencetus inspirasi Hamilton

LONDON: Sebuah kereta Formula Satu dihantar ke rumah kanak-kanak penghidap kanser yang memberi inspirasi buat pemandu Mercedes, Lewis Hamilton memenangi Grand Prix Sepanyol.

Hamilton menghadiahkan kemenangannya di Barcelona kepada Harry Shaw, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dari Surrey yang mengalami kanser tulang dan mempunyai peluang tipis untuk pulih.

Pasukan Mercedes kemudian mengatur untuk meletakkan sebuah kereta F1 di halaman rumah Harry di Redhill.

Kanak-kanak itu, didukung bapanya James, dibawa melihat kereta Hamilton itu oleh kakitangan Mercedes.

Itu adalah kali pertama Harry berada di luar rumah sejak tiga minggu lalu.

Harry dihadiahkan trofi kemenangan Hamilton di Barcelona, dan sepasang sarung tangan juara dunia itu. Hamilton turut membuat rakaman video untuk Harry.

“Saya tidak dapat gambarkan betapa bermaknanya buat kami semua yang Lewis memenangi perlumbaan untuk Harry, dan kemudian menghadiahkannya kepada Harry,” kata James.

“Dalam tempoh yang amat sukar buat kami, ini semua memberikan kami harapan dan senyuman.

“Harry tidak percaya yang Lewis Hamilton bercakap tentangnya, dan menghadiahkan perlumbaan ini kepadanya.

“Kini dia merasakan Lewis adalah kawan baiknya, dan untuk kanak-kanak berusia lima tahun, ia adalah perkara yang hebat.

“Mercedes memberi sinar dalam kehidupan kami.” - AFP 

571 dibaca
Berita Harian X