Isnin, 13 Mei 2019 | 11:47pm
JUARA dunia lima kali, Lewis Hamilton. - Foto EPA

Hamilton lebih gemar melawan Ferrari berbanding Bottas

LONDON: Juara dunia lima kali, Lewis Hamilton berkata Mercedes tidak seharusnya dipersalahkan terhadap dominasi mereka dan dia lebih suka bertarung dengan pencabar Formula Satu, Ferrari dan Red Bull berbanding rakan sepasukan, Valtteri Bottas.

Juara bertahan, Mercedes menang semua perlumbaan setakat musim ini dengan kedudukan 1-2 manakala Hamilton dan Bottas juga masing-masing merakam catatan masa terpantas.

Kedua-dua pemandu Mercedes itu juga dibezakan dengan hanya tujuh mata, Hamilton mendahului selepas tiga kemenangan tetapi jurang besar membezakan mereka dengan yang lain.

“Mereka yang melihat mungkin tidak gembira dengan jurang kami berbanding Ferrari. Sudah tentu kami mahu sepantas mungkin, kami tidak tahu kenapa yang lain agak jauh ketinggalan,” kata Hamilton selepas perlumbaan semalam.

“Ia bukan salah kami. Ia bukan salah lelaki ini (rakan sepasukannya) kerana dia memang bagus.”

Pemandu Britain itu melalui dua musim lalu apabila pemandu Ferrari, Sebastian Vettel menjadi pencabar utama sambil menggambarkannya sebagai pertarungan hebat tenis antara Roger Federer dan Rafael Nadal.

Pemandu berusia 34 tahun itu tidak bercakap perkara yang sama tahun ini dengan hanya Bottas pernah menewaskannya yang menjadi pertarungan dalaman pasukan sejak perlumbaan pembuka tirai di Australia. - Reuters

656 dibaca
Berita Harian X