Rabu, 20 March 2019 | 7:03pm
GAMBAR fail, Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq

PETRONAS Yamaha SRT bukan 'penyelamat' Hafizh

KUALA LUMPUR: Tiada tempat untuk Hafizh Syahrin Abdullah dalam pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT) bagi tempoh dua tahun ini.

Itu kata prinsipal pasukan MotoGP negara berkenaan, Datuk Razlan Razali mengulas kebimbangan mengenai masa depan Hafizh yang pada musim ini dilihat bergelut bersama jentera KTM dengan PETRONAS Yamaha SRT dilihat sebagai alternatif terbaik untuknya bagi tahun depan.

Razlan menegaskan, kontrak dua pelumbanya - Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo - adalah sehingga 2020 sekali gus menidakkan pandangan sesetengah pihak yang menyatakan kemungkinan itu mungkin berlaku.

"Dia kena berhenti dengan alasan motosikal (KTM), kena berhenti membandingkan KTM dan Yamaha. Dia sekarang kena beri 200 peratus fokus kepada kerjanya di MotoGP... maksudnya teruskan latihan dengan lebih kuat lagi, lebih rajin lagi.

"Itu saja yang perlu difikirkannya setiap masa. Apa yang saya nak tengok adalah usaha, saya setuju dengan kenyataan Herve (prinsipal pasukan Red Bull KTM Tech3 yang disertai Hafizh) yang dia bukan saja terakhir (keputusan di Grand Prix Qatar, baru-baru ini) tetapi jaraknya dengan pelumba kedua terakhir juga begitu jauh.

"Dan sasarannya (pada perlumbaan) mudah, untuk berada di depan Miguel Oliveira (rakan sepasukan Hafizh). Sekarang ini bergantung kepada dia kerana dia harus memikirkannya, bekerja keras dan sebenarnya kita masih menolongnya daripada sudut latihan bersama Institut Sukan Negara (ISN) dan dia ada beberapa kali pergi ke bahagian psikologi.

"Apapun, saya lihat dia berlatih dengan gigih, jadi saya mengharapkan di (GP) Argentina nanti dia akan dapat melakukan yang lebih baik," kata Razlan yang juga bercakap di atas kapasiti Ketua Pegawai Eksekutif Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC), dalam satu sidang media di sini hari ini.

Pada musim pertamanya dalam kelas MotoGP tahun lalu, Hafizh menamatkan saingan keseluruhan di tangga ke-16 dengan 46 mata bersama jentera Yamaha namun pada perlumbaan pertama musim 2019 di GP Qatar baru-baru ini, Hafizh dilihat bergelut dengan jentera KTM RC16 ditunggangnya dan menemui garisan penamat ke-20.

"Dia kena berhenti membandingkan dengan Yamaha kerana pada akhirnya inilah yang kamu miliki dan harus membiasakan diri dengannya.

“Saya tak nak diberi tekanan pada hujung tahun nanti, sekiranya dia ada masalah, ke mana dia harus pergi tahun depan. Saya tak nak diberi tekanan oleh peminat mahupun media yang meminta untuk mengambilnya tahun depan.

“Saya akan cakap sekarang yang pelumba MotoGP (ketika ini) mempunyai kontrak dua tahun, 2019 dan 2020... jadi tak ada tempat untuk Hafizh tahun depan.

"Saya tak mahu dia fikir jalan selamatnya nanti adalah dengan PETRONAS, jadi dia kena kerja keras," kata Razlan yang turut menyatakan kedudukan GP Malaysia dalam kalendar Kejuaraan Motosikal Dunia tetap akan kekal menjadi yang kedua terakhir seandainya Indonesia menjadi tuan rumah pada 2021 nanti.

"Hubungan kita dengan Dorna (pemegang hak MotoGP) begitu baik sekali, jadi sebelum mereka sahkan dengan (penyertaan) Thailand ataupun Indonesia, saya ada bercakap dengan pihak Dorna yang Malaysia harus kekal dengan sekarang ini - yang kedua terakhir - ataupun yang ke-18 sekiranya 19 pusingan keseluruhan. Mereka bersetuju tak akan ubah kalendar Sepang seperti sebelum ini," katanya.

941 dibaca
Berita Harian X