Rabu, 20 March 2019 | 1:49pm
JEAN Todt. - Foto AFP

GP Vietnam ada potensi - Todt

HANOI: Bos Formula Satu (F1) Jean Todt mengalu-alukan kedatangan Grand Prix Vietnam di Hanoi yang julung kali diadakan tahun depan sebagai peluang terbaik untuk peminat sukan pemotoran di Asia Tenggara.

Hanoi akan digegarkan dengan kemeriahan F1 buat pertama kali pada April 2020 dalam usaha sukan berkenaan meluaskan pasaran di Asia Tenggara.

Todt berkata dia berharap peminat-peminat di Vietnam yang menyaksikan juara dunia lima kali Lewis Hamilton dan Sebastian Vettel bersaing di litar jalan raya di Hanoi akan mencetus minat mereka dalam semua jenis perlumbaan di Vietnam yang terkenal dengan sukan bola sepak.

“Ia bagus untuk pembangunan sukan pemotoran di Vietnam dan rantau ini,” kata Todt, presiden badan induk sukan pemotoran dunia (FIA) kepada wartawan pada upacara pecah tanah litar jalan raya di Hanoi.

“Saya amat berharap dalam masa terdekat di sini akan wujud kemudahan untuk perlumbaan go-kart dan drift. Anda mempunyai golongan muda, berbakat dengan minat mendalam dalam sukan pemotoran, sebab itu saya rasa ia amat penting untuk terus mengadakan cabang baharu sukan pemotoran.”

Litar jalan raya sepanjang 5.6 kilometer itu membabitkan jalan sedia ada dan jalan baharu yang akan dibina sekitar My Dinh di Hanoi, berhampiran stadium bola sepak kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar.

Hanoi menandatangani kontrak selama 10 tahun untuk menganjurkan F1 dengan anggaran perbelanjaan sekitar AS$60 juta (RM244.6 juta) setahun.

Bagaimanapun Vietnam menegaskan perbelanjaan itu tidak akan ditanggung kerajaan sebaliknya ia akan ditanggung sepenuhnya oleh konglomerat terbesar negara itu, VinGroup. – AFP

311 dibaca
Berita Harian X