Jumaat, 8 March 2019 | 9:06pm
Pelumba veteran Ahmad Fazli Sham Walat. - Ihsan FB Ahmad Fazli Sham

Fazli Sham terpantas Underbone 150cc

SEPANG: Pelumba veteran Ahmad Fazli Sham Walat positif untuk menghadapi Perlumbaan 1 kelas Underbone 150cc di pusingan pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) 2019, esok. 

Pada sesi kelayakan yang berlangsung di Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing itu mencatat masa terpantas 2 minit 32.984 disusuli pelumba Indonesia, Aldi Satya Mahendra. 

Keputusan diraihnya itu sekali gus memberi tonik untuk meraih petak utama pada sesi Superpole esok namun pada masa sama mengharapkan sentuhan yang baik daripada pasukan bagi mengharungi enam pusingan Perlumbaan 1 selepas itu. 

"Saya tak sangka dapat terpantas untuk hari ini dan nasib juga memainkan peranan," kata pelumba berusia 37 tahun itu.

"Untuk Perlumbaan 1 (esok), saya agak yakin dengan keputusan diraih hari ini tetapi kami memerlukan strategi daripada rakan sepasukan untuk dapatkan keputusan yang baik."

Fazli Sham mempunyai pengalaman 15 tahun di kejuaraan peringkat Asia itu dan kali ini, pelumba kelahiran Taiping, Perak itu menjangkakan persaingan bukan saja hadir daripada pelumba tempatan tetapi juga negara jiran, Indonesia. 

"Kalau ikutkan kebiasaan, sebelum ini persaingan adalah daripada daripada negara jiran Indonesia yang bagi saya mereka mempunyai mesin yang baik. 

"Namun di Sepang ini, saya lihat persaingan akan hadir daripada semua pasukan termasuk pelumba tempatan sendiri kerana hampir semuanya mencatatkan masa yang agak sama," katanya yang bersara daripada Kejuaraan Cub Prix Malaysia tahun lalu.

Keputusan kelayakan Underbone150cc (5 terpantas)

1. Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Racing) 2:32.984s

2. Aldi Satya Mahendra (YAMAHA Racing Indonesia) 2:33.213s

3. Wahyu Aji Trilaksana (ONEXOX TKKR SAG Racing) 2:33.364s

4. Fernando Masato (UMA Racing YAMAHA Philippine) 2:33.629s

5. Md Akid Aziz (UMA Racing YAMAHA Maju Motor Asia) 2:33.846s

131 dibaca
Berita Harian X