Rabu, 13 Februari 2019 | 12:01am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup sambil disaksikan Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (kiri), Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Permotoran Malaysia, Datuk Mokhzani Mahathir dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (kanan) pada Majlis Anugerah PETRONAS SIC Persatuan Permotoran Malaysia (MOM) di Hotel W, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

Tun M mahu F1 kembali ke Sepang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu perlumbaan berprestij dunia, Formula Satu (F1) kembali ke Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC).

Dalam ucapannya selepas menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup di Majlis Anugerah PETRONAS SIC Motorsports Association of Malaysia 2018 hari ini Tun Dr Mahathir mengimbau kembali detik awal dalam pembinaan litar untuk kejuaraan di Malaysia.

"Saya masih ingat kunjungan ke Estoril di Portugal, kunjungan yang mempengaruhi saya untuk mempunyai satu sirkit yang lebih kurang sama seperti itu di Malaysia,” kata Dr Mahathir.

"Saya tak pernah terfikir ia akan membangun sebegini, saya fikir mungkin dalam 10,000 atau 20,000 pengunjung yang akan datang tetapi seperti anda tahu penerimaannya agak baik.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup bergambar dengan tetamu kehormat dan sebahagian penerima anugerah pada Majlis Anugerah PETRONAS SIC Persatuan Permotoran Malaysia (MOM) di Hotel W, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

"Dan rakyat Malaysia memberi maklum balas bukan saja dengan menyaksikan perlumbaan F1, mereka mula berlumba sesama mereka dan sekarang kita sangat bagus dalam sukan permotoran selain menjadi jurutera di belakang pasukan.

"Saya harap kita dapat menjana banyak perkara daripada perlumbaan di Sepang dan perbelanjaan yang dibelanjakan di trek ini berbaloi.

"Saya harap perlumbaan ini akan diteruskan pada masa depan dan saya harap Formula Satu dapat kembali dengan penuh gemilang."

SIC adalah buah fikiran Dr Mahathir dan mula menganjurkan perlumbaan berprestij itu pada tahun 1999.

Namun pada tahun 2017, penganjuran tidak diteruskan kerana kurang menerima sambutan dan memakan belanja yang tinggi.

2839 dibaca
Berita Harian X