Isnin, 11 Februari 2019 | 9:19pm
Pelumba Moto2, Khairul Idham Pawi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Ujian tertutup SuperKIP memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Hari pertama ujian tertutup bagi pasukan PETRONAS Sprinta Racing di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berlangsung positif buat pelumba Moto2, Khairul Idham pawi.

Khairul Idham menyatakan kegembiraannya dengan prestasi jentera meskipun hari ini baru memberi penekanan terhadap beberapa bahagian seperti suspensi, elektronik dan klac.

"Saya gembira kerana dapat kembali menunggang selepas lama berehat," katanya yang pernah memenangi dua perlumbaan dalam kelas Moto3 di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman pada musim 2016.

"Hari ini, kami menumpukan kepada elektronik, suspensi dan klac. Semuanya ini agak positif dan kami dapat meningkatkan catatan masa sepusingan, setiap kali keluar (ke trek).

"Saya gembira dengannya dan kami tidak sabar untuk mendapatkan pelarasan yang lebih baik (esok dan lusa)."

Ujian tertutup bagi pasukan Moto2 dan Moto3 negara ini dijadual berlangsung sehingga Rabu ini.

Selain Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai SuperKIP ini, turut melakukan ujian adalah pelumba pasukan Moto3 negara dari Jepun, Ayumu Sasaki dan John McPhee (Scotland).

513 dibaca
Berita Harian X