Isnin, 11 Februari 2019 | 1:20pm
Verstappen menamatkan hukuman khidmat masyarakat yang dikenakan ke atasnya. - Foto Reuters

F1: Verstappen tamat jalani hukuman

LONDON: Pemandu Red Bull, Max Verstappen menamatkan hukuman khidmat masyarakat yang dikenakan ke atasnya dan dilihat ceria dalam majlis perhimpunan steward perlumbaan antarabangsa di Geneva, semalam.

Dia selesai menjalani hukuman khidmat masyarakat yang dikenakan ke atasnya selepas insiden di Grand Prix Brazil, tahun lalu.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), berkata pemandu berusia 21 tahun dari Belanda itu hadir mengambil bahagian dalam sesi kajian kes interaktif bersama pengawal perlumbaan sepanjang minggu ini.

"Kami melakukan tugasan di atas litar, cuba memastikan perlumbaan berjalan dengan lancar dan ia jelas sekali steward perlumbaan menjalankan tugas sebaik mungkin untuk mencapai keputusan yang adil," kata Verstappen yang dipetik daripada kenyataan FIA.

"Ia sesi pembelajaran yang bagus untuk saya dan banyak dipelajari saya sepanjang dua hari di Marrakesh, yang menyaksikan saya menikmatinya dan lebih memahami peranan steward.

"Pemenang paling muda dalam perlumbaan Formula Satu (F1) itu diarahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama dua hari kerana menyerang pemandu Force India, Ocon November lalu.

Verstappen ketika itu mendahului saingan di Interlagos apabila cuba memintas pemandu tercorot, Ocon yang cuba mendapatkan kembali kedudukannya sehingga menyebabkan pelumba Belanda itu terbabas dan terlepas peluang untuk menang.

Pelumba Red Bull tidak berpuas hati dengan perkara itu dan menyerang Ocon selepas perlumbaan dan akhirnya dikenakan hukuman.

Verstappen menghabiskan hari pertama daripada dua hari sesi hukuman berkenaan menyertai pegawai perlumbaan Formula E (perlumbaan elektrik) di Maghribi, bulan lalu, dengan melihat bagaimana keputusan perlumbaan dibuat.

Dia kemudiannya menyertai barisan panel perbincangan pertandingan di Geneva bersama juara Touring Dunia, Andy Priaulx, ketua pasukan rali dunia M-Sport Richard Millener dan pengarah BMW Motorsport Jens Marquardt. - AFP

149 dibaca
Berita Harian X