Ahad, 10 Februari 2019 | 10:11pm
Pengurus Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Wilco Zeelenberg. - Foto Speedweek

Diluar jangkaan kami!

KUALA LUMPUR: Itu kata Pengurus Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Wilco Zeelenberg mengenai ujian rasmi pramusim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang disifatkannya begitu positif sebelum sesi seterusnya di Losail, Qatar 23 hingga 25 Februari ini.

"Kami dapat belajar beberapa perkara baharu dan menarik mengenai jentera 2019 ini - seperti saya katakan, lebih daripada apa yang kami jangkakan," kata Zeelenberg.

Pelumbanya, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo menunjukkan peningkatan daripada sudut catatan masa pada hari terakhir ujian dengan masing-masing berjaya mencatat masa sepusingan di bawah dua minit.

Morbidelli yang memasuki tahun keduanya dalam kelas perdana itu mencatat 1 minit 59.141 saat pada hari ketiga (Jumaat lalu) selepas melakar 2:00.151s dan 2:00.460s pada hari pertama.

Rakan sepasukannya, Quartararo yang muncul selaku pelumba muka baharu musim ini (rookie) mencatat 1:59.497s (Jumaat), 2:00.108s (Khamis) dan 2:00985s (Rabu).

Keputusan itu jelas menggembirakan Zeelenberg dan mengulas mengenai pelumbanya, dia berkata: "Untuk pelumba, kami sangat gembira dengan peningkatan ditunjukkan Fabio dan Franco. Kami mahu menamatkan (sesi) di atas lagi tetapi dengan beberapa masalah dialami (pada sesi ujian), dan dengan keputusan 1'59.1 ini, ia adalah sesuatu yang agak menakjubkan.

"Objektif seterusnya untuk ujian di Qatar nanti adalah untuk membina apa yang kami pelajari di sini. Apa yang jelas, Yamaha perlu mencuba beberapa pilihan berbeza di Sepang untuk mengenalpasti beberapa konfigurasi sebelum musim sebenar bermula. Jadi kami harus memastikan yang kami berada di landasan sebenar di beberapa sirkit berlainan."

Empat jentera Ducati menawan kelompok teratas bagi tiga hari ujian dengan Danilo Petrucci dari pasukan Mission Winnow Ducati mengungguli sesi ujian keseluruhan dengan catatan terpantas, 1:58.239s.

Sementara itu, Morbidelli yang muncul rookie terbaik 2018 berkata, pasukan masih mempunyai beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan lagi dalam usaha untuk berada dalam kelompok depan.

"Hari terakhir di Litar Antarabangsa Sepang berlangsung dengan sangat baik. Kami mampu melengkapkan program yang kami letakkan semalam (Khamis), iaitu meningkatkan kelajuan dan kelajuan tertinggi.

"Saya tidak dapat melakukan simulasi perlumbaan kerana kami mempunyai banyak perkara untuk dilakukan tetapi kami akan melakukannya ketika ujian di Qatar nanti," kata pelumba dari Itali itu.

956 dibaca
Berita Harian X