Jumaat, 11 Januari 2019 | 4:15pm
Franco Morbidelli. - Foto AFP

Rossi risau anak didik lawan 'bos'

PARIS: Pelumba MotoGP, Valentino Rossi percaya anak didiknya, Franco Morbidelli akan memberikan "masalah" kepadanya bagi saingan musim 2019.

Dia akan memulakan musim MotoGP dengan pasukan baharu, Petronas SRT Yamaha serta menunggang jentera Yamaha M1, sama seperti yang digunakan Rossi dan Maverick Vinales.

Morbidelli, yang menunggang Marc VDS Honda pada tahun pertamanya, memberikan impak ketika tempoh ujian dan merakam masa keenam terpantas pada hari terakhir di Jerez.

"Dia mengagumkan pada penampilan pertama bersama Yamaha kerana dia sangat kuat," kata Rossi mengenai Morbidelli. "Jadi, dia akan menjadi masalah.

"Franco cukup sukankan Yamaha, kerana ia jentera yang sangat membantu dan memberikan anda maklum balas yang baik. Ia adalah jentera yang "mesra" penunggang, namun kami mengalami masalah yang sama iaitu kurang mencengkam di litar."

Bukan saja Morbidelli yang berada senarai MotoGP 2019, anak didik Rossi yang lain turut menyertainya seperti juara Moto2, Francesco Bagnaia yang bersama Pramac Ducati pada kelas utama tahun ini.

Bagnaia yang turut menyinar semasa sesi ujian di Jerez muncul pelumba pertama meraih gelaran dunia bagi pasukan milik Rossi, Sky Racing VR46.

Rossi ketika diminta membandingkan dua bintang Itali ini berkata, Bagnaia mempunyai bakat semula jadi, manakala Morbidelli lebih bekerja keras.

"Kedua-duanya adalah pelumba yang bagus dan mereka sudah membuktikannya. Bagnaia lebih berbakat dalam aspek kemahiran semula jadi, namun pada masa yang sama Morbidelli bekerja dengan kuat dan sukar ditewaskan. Morbidelli lebih agresif.

"Saya tidak pasti siapa lebih pantas, namun tahun ini mereka akan menunggang jentera yang sama daripada aspek kemampuan, jadi amat menarik untuk melihatnya." -Agensi

 

 

1427 dibaca
Berita Harian X