Jumaat, 9 November 2018 | 1:10pm
Lewis Hamilton. - Foto Osman Adnan

Hamilton tak bimbang keselamatan Interlagos

LONDON: Lewis Hamilton yakin tahap keselamatan sudah bertambah baik di sekitar litar menjelang perlumbaan Formula Satu Grand Prix Brazil di Interlagos, hujung minggu ini.

Tahun lalu, ahli pasukan Mercedes diacukan pistol di bahagian kepala ketika mereka dirompak selepas meninggalkan Litar Interlagos.

“Saya sentiasa berasa selamat di sini, jadi saya tidak terlalu memikirkan mengenai tahap keselamatan menjelang perlumbaan.

“Namun, saya yakin F1 dan pasukannya sudah mengambil tindakan sewajarnya selepas insiden tahun lalu,” kata Hamilton yang dinobat sebagai juara dunia kali kelima pada GP Mexico, minggu lalu.

Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) menyatakan mereka sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua yang terbabit dengan perlumbaan di Interlagos tidak berdepan risiko susulan insiden tahun lalu.

Insiden rompakan bukan asing ketika perlumbaan di Interlagos kerana pemandu Britain, Jenson Button pernah menjadi mangsa rompakan bersenjata pada 2010.

“Mereka (FIA) sudah mengambil tindakan bagi memastikan tahap keselamatan bertambah baik. Saya yakin ia semakin baik.

“Anda tidak tahu apa yang akan berlaku tapi saya berharap semuanya akan berjalan dengan lancar buat semua,” kata Hamilton. – Agensi

201 dibaca
Berita Harian X