Isnin, 13 Ogos 2018 | 8:40pm
AHMAD Fazli Sham - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Fazli sasar layak ke Superpole

 

KUALA LUMPUR: Ahmad Fazli Sham menetapkan sasaran awal untuk layak ke sesi Superpole kelas CP150 pada pusingan keempat kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang dijadual berlangsung di Temerloh, Pahang hujung minggu ini.

Masih segar dengan dua kemenangan kelas Underbone 150cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di India baru-baru ini, Fazli berharap dapat meneruskan rentak berkenaan di kejuaraan peringkat kebangsaan selepas memilih haluan bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing musim ini.

Begitupun, selepas tiga pusingan setakat ini, pelumba berusia 36 tahun itu belum menemui rentak terbaik apabila masih gagal menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terbaik yang layak ke sesi Superpole.

“Kami masih mencari keserasian dan akan terus bekerja keras. Di Asia kami sudah mula menunjukkan peningkatan begitu juga di Cub Prix di mana pelumba kami juga menaiki podium di Jasin sebelum ini, jadi ia membuktikan yang kami juga mampu.

“Cuma kami masih belum berada pada tahap terbaik. Walaupun saya berjaya berada dalam kedudukan 10 terbaik di perlumbaan akhir, namun keputusan peringkat kelayakan agak mengecewakan.

“Saya tidak mahu memberikan tekanan dengan meletakkan sasaran di podium. Saya perlu lebih realistik dan layak ke Superpole adalah matlamat utama ketika ini,” kata Ahmad Fazli.

Berita Harian X