Ahad, 12 Ogos 2018 | 10:24pm
PENUNGGANG pasukan Ducati, Jorge Lorenzo meraikan kejayaan mengungguli GP Australia di Spielberg, Austria, sebentar tadi. - Foto AFP

Lorenzo kecewakan Marquez

SPIELBERG, Austria: Jorge Lorenzo membuktikan kepada Marc Marquez dia lebih layak menjuarai Grand Prix (GP) Austria selepas kedua-duanya bertarung sengit sehingga pusingan terakhir sebelum menakluk Litar Red Bull Ring, sebentar tadi.

Lorenzo dan Marquez dari Honda saling bertukar kedudukan selaku pendahulu ketika perlumbaan sebelum pelumba pasukan Ducati itu melepasi garisan penamat untuk meraih kemenangan ketiganya musim ini.

Marquez bagaimanapun masih mengungguli carta pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 59 mata manakala Lorenzo mendaki ke tangga ketiga di depan rakan sepasukannya dari Itali, Andrea Dovizioso yang menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.

Lorenzo yang akan menyertai Honda musim depan berkata, strateginya untuk mengurangkan kehausan  tayarnya di awal perlumbaan membuahkan hasil.

“Pada 10 pusingan terakhir, saya memutuskan untuk menyerang,” kata Lorenzo sejurus perlumbaan. “Saya nampak kuat di sesetengah kawasan, seperti mendaki bukit, dia lebih berkuasa pada selekoh kedua.

“Apabila saya memintasnya, saya memberikan segala-galanya dan saya berada di penghujung had saya. Salah satu kemenangan terbaik saya.”

Marquez bagaimanapun boleh menarik nafas lega apabila pencabarnya dalam kejuaraan, Valentino Rossi dari Yamaha yang memulakan perlumbaan di petak ke-14 menamatkan saingan di tangga keenam.

“Ini perlumbaan yang saya nikmati,” kata Marquez. “Saya memberikan segala-galanya. Saya mahu mempertahankan posisi saya tetapi dia menewaskan saya di laluan lurus. Persembahan yang hebat.” - AFP

Keputusan GP Austria

1. Jorge Lorenzo (ESP/Ducati), 39 minit 40.688 saat (s)

2. Marc Marquez (ESP/Honda), +0.130s

3. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati), +1.656s

4. Cal Crutchlow (GBR/LCR Honda), +9.434s

5. Danilo Petrucci (ITA/Ducati Pramac), +13.169s

6. Valentino Rossi (ITA/Yamaha), +14.026s 

7. Dani Pedrosa (ESP/Honda), +14.156s

8. Alex Rins (SPA/Suzuki), +16.644s

9. Johann Zarco (FRA/Yamaha Tech3), +20.760s

10. Alvaro Bautista (SPA/Ducati Angel Nieto Team) , +20.844s

Berita Harian X