Jumaat, 6 Julai 2018 | 5:41pm
Pelumba Pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ, Kasma Daniel Kasmayuddin. - Foto Nurul Amanina Suhaini

Kasma mahu pertahan gelaran 'Raja' MAEPS

KUALA LUMPUR: Kasma Daniel Kasmayuddin bertekad melakar kemenangan hatrik di MAEPS, Serdang yang menjadi gelanggang pusingan Kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di MAEPS, Serdang yang bermula esok.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu mempunyai rekod cemerlang di litar MAEPS apabila meraih gelaran juara CP130 pada tahun 2016 dengan menewaskan Ahmad Fazli Sham dan Zaqhwan Zaidi.

Dia turut menawan litar itu pada tahun lalu dengan menewaskan Mohd Ramdan Rosli dan Ahmad Afif Amran ketika kategori CP150 yang mula diperkenalkan.

Selain itu, Kasma turut menaiki podium apabila muncul naib juara dalam kelas CP115 ketika pertama kali MAEPS berada dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix Malaysia pada tahun 2015.

"Litar MAEPS sentiasa menghadiahkan podium kepada saya. Secara peribadi, saya memang sukakan litar ini kerana sebahagiannya cukup teknikal manakala sebahagian lagi pula memerlukan jentera yang pantas.

"Adunan kemahiran dan persiapan jentera yang terbaik oleh pasukan dapat membantu saya untuk mengejar kemenangan ketiga berturut-turut di sini."

Kasma yang juga juara bertahan kelas perdana CP150 2017 kini mendahului carta keseluruhan selepas memenangi Pusingan Pertama musim 2018 di Litar Tangkak, Johor April lalu.

Biarpun begitu, pelumba berusia 18 tahun itu tetap menjangkakan saingan sengit bakal diterimanya di MAEPS, kali ini.

"Saya jangkakan saingan kali ini lebih sengit. Pencabar seperti Ahmad Afif dan rakan sepasukan, Mohd Ramdan pasti menjadikan saya sebagai pelumba yang perlu ditewaskan.

"Begitu juga dengan pasukan lain termasuk dari jentera Honda yang semakin menunjukkan peningkatan," kata Kasma.

Berita Harian X