Selasa, 23 Januari 2018 | 8:42pm
PELUMBA tempatan, Ahmad Fazli Sham Walat tidak lagi berlumba untuk pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor, sebaliknya memilih sertai pasukan TKKR Racing musim ini. - Foto Amir Irsyad Omar

Ahmad Fazli sertai TKKR Racing

KUALA LUMPUR: Pelumba tempatan, Ahmad Fazli Sham Walat mengesahkan tidak lagi berlumba bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor bagi Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim ini.

Ahmad Fazli yang boleh dianggap senior dalam kejohanan itu mengambil keputusan mengembangkan kariernya bersama TKKR Racing.

"Saya mengambil keputusan berpindah ke TKKR selepas mendapat tahu peraturan tahun ini sudah berubah di mana hanya tiga pelumba saja dibenarkan untuk kelas 150cc bagi setiap pasukan.

"Jadi selepas berbincang dengan pengurus pasukan Maju Motor, saya mengambil keputusan berhijrah menyertai pasukan TKKR kerana senarai pelumba di pasukan lama sudah mencukupi selain ingin memberi ruang kepada pelumba muda," kata Ahmad Fazli.

Hubungan Ahmad Fazli dan Maju Motor sebenarnya sudah menjangkau kira-kira 14 tahun sejak pelumba berusia 36 tahun itu mula menyertai pasukan pada 2003.

Dalam tempoh itu, hanya sekali Ahmad Fazli bertukar pasukan iaitu pada 2011 dengan juara kelas Expert 2007 dan 2008 itu menyertai Penzoil Fastrac Racing Team sebelum kembali ke pangkuan pasukan asal, Maju Motor.

"Saya sebenarnya gembira ke TKKR kerana masih diberi peluang berlumba dan mahu mencuba nasib di peringkat Asia pula (ARRC) bersama pasukan ini.

"Kalau boleh, saya nak buktikan sesuatu selepas berpindah pasukan dan saya harap mampu melakukannya," katanya.

17 dibaca
Berita Harian X