Selasa, 28 November 2017 | 9:22pm
PELUMBA BikeArt, Azlan Shah Kamaruzaman enggan dibebani tekanan untuk meraih gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc pada pusingan kemuncak musim Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2017 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hujung minggu ini. - Foto Osman Adnan

Azlan tak tertekan

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman sekali lagi menyatakan yang dirinya enggan dibebani tekanan untuk meraih gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc pada pusingan kemuncak musim Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2017 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hujung minggu ini.

Ketika ini, pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu berada di tangga keempat keseluruhan dan enggan dipengaruhi rekod atas kertas di mana dia hanya ketinggalan 10 mata berbanding pendahulu, Mohd Zaqhwan Zaidi.

Sehubungan itu, Azlan lebih selesa meletakkan dirinya sebagai 'pelumba bukan pilihan' meskipun Litar Buriram sebelum ini lebih memihak kepada jentera Kawasaki.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri sendiri," kata Azlan. "Saya hanya memikirkan bagaimana untuk tampil terbaik ketika di litar dan bagaimana memenangi perlumbaan. Lima pelumba teratas masih berpeluang dan sedang bersaing sengit memburu kejuaraan.

"Tumpuan lebih diberikan kepada Zaqhwan kerana dia sedang mendahului kedudukan. Saya selesa tampil selaku pelumba 'underdog' (bukan pilihan) dan menamatkan perlumbaan di atas podium."

Azlan yang juga bekas juara 2013 berkata, dia bersama rakan sepasukannya, Ahmad Yudhistira turut mempunyai misi membantu pasukan muncul juara keseluruhan selepas mendahului kedudukan ketika ini dengan 155 mata, sembilan mata mengatasi juara bertahan, Musashi Boon Siew Honda Racing yang berada di kedudukan kedua.

"Kiraan mata diambil dari pelumba terbaik pasukan. Yudhistira ketika ini juga sedang bersaing untuk gelaran keseluruhan (pelumba).

"Ini akan memberi kelebihan buat pasukan kerana tidak kira saya ataupun Yudhis, pasti akan memungut seberapa banyak mata dan optimis kami mampu menamatkan dominasi Musashi Boon Siew Honda Racing yang memegang gelaran pasukan terbaik selama lima tahun berturut-turut."

Kali terakhir jentera Kawasaki memenangi gelaran ialah pada 2011 melalui Katsuaki Fujiwara sebelum Musashi Boon Siew Honda Racing mendominasi kejuaraan.

Berita Harian X