Rabu, 15 November 2017 | 10:11pm
PASUKAN PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mengesahkan status juara berpasukan dan individu. - Foto Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS

Maju Motor dominasi Cub Prix 2017

KUALA LUMPUR: Menjelang pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS 2017 di Dataran Bandar Penawar, Johor hujung minggu ini, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor sudah membuktikan kedudukan mereka selaku pasukan terbaik apabila mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan berpasukan dan individu.

Lebih manis, kejayaan itu mengulangi pencapaian mereka tahun lalu dan sebaik tamat perlumbaan minggu ini, pelumba pasukan itu Kasma Daniel Kasmayuddin akan membawa pulang gelaran keseluruhan kelas perdana buat kali kedua selepas memenangi gelaran CP130 pada musim 2016.

Mohd Akid Aziz mempertahankan gelaran keseluruhan CP115 buat tahun kedua berturut-turut dengan pencapaian itu secara tidak langsung meneruskan tradisi cemerlang Maju Motor dalam sejarah 24 tahun Kejuaraan Cub Prix apabila meraih 22 gelaran individu dan berpasukan termasuk di peringkat Asia.

Pemilik dan pengurus pasukan, Yong Ying Hoe berkata, kejayaan mendominasi kedua-dua kategori sejak beberapa tahun kebelakangan ini dicapai atas kerjasama pelbagai pihak.

"Di atas litar nampak seperti pelumba kami melakukan dengan mudah," kata Ying Hoe. "Hakikatnya, bukan mudah untuk meraih apa yang kami ada pada hari ini.

"Kerjasama semua pihak daripada segi pengurusan, pelumba, rakan penaja seperti pengeluar Yamaha, rakan teknikal dan pembekal produk alat ganti berprestasi tinggi UMA Racing dan Racing Boy, PETRONAS serta lain-lain, banyak membantu kami membangunkan jentera yang terbaik.

"Gabungan pelumba berpengalaman dan pelumba muda juga menjadi faktor penting."

Pasukan ini mempunyai satu lagi misi penting untuk memenangi gelaran individu kategori Underbone 150cc pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang dijadual berlangsung di Thailand, awal Disember ini selain sudah mengesahkan gelaran pasukan terbaik kategori berkenaan.

Untuk rekod, Chia Tuck Cheong adalah pelumba pertama memenangi gelaran keseluruhan buat pasukan Maju Motor apabila muncul juara Expert pada tahun 1997 diikuti Md Faisal Yahya tahun berikutnya.

Chia sekali lagi memenangi gelaran keseluruhan pada 2001 manakala K Sivanesan muncul juara pada 2004.

Gelaran juara keseluruhan berpasukan pertama dimenangi pada 2006 bersama pelumbanya, Md Suhadi Ali Rahmat yang turut memenangi gelaran kelas Expert. Ahmad Fazli Sham membantu pasukan Maju Motor meraih gelaran hatrik individu dan berpasukan pada 2007 dan 2008 ketika bergandingan bersama Ahmad Fazrul Sham.

Selepas perlumbaan memasuki era empat lejang, saingan antara pasukan bertanding semakin sengit menyaksikan Maju Motor tidak memenangi gelaran keseluruhan dari 2009 sehingga Kasma muncul juara keseluruhan CP115 pada 2015 diikuti gelaran keseluruhan CP130 dan CP150 tahun berikutnya.

11 dibaca
Berita Harian X